Nation
242

Perkhidmatan tren ERL beroperasi semula 13 Sept

Kuala Lumpur – Perkhidmatan tren KLIA Ekspres dan KLIA Transit kendalian Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) akan beroperasi semula secara perkhidmatan bergabung dari 6 pagi hingga 10.10 malam setiap hari, mulai 13 Sept.

ERL dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah tersebut adalah susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, yang membenarkan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor untuk beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara.

Menurut kenyataan itu tren berkenaan akan bergerak setiap satu jam sepanjang tempoh operasi dan jadual tren akan disesuaikan kemudian mengikut pertambahan jumlah penumpang.

“Sempena pengoperasian semula ini, ERL sekali lagi menawarkan Kad Perjalanan Mingguan Percuma dengan setiap pembelian Kad Perjalanan Bulanan Transit KLIA menggunakan MyKad yang berdaftar. Promosi tersebut bermula serta-merta sehingga 30 Nov ini, bagi menggalakkan lebih ramai penumpang kembali ke pejabat dengan menaiki perkhidmatan awam setiap hari.

“Kad Perjalanan Bulanan itu menawarkan penjimatan besar kepada pengguna dengan diskaun yang tinggi iaitu sehingga 83 peratus,” menurut kenyataan itu.

Perkhidmatan tren ERL dihentikan sementara waktu bermula 4 Jun lepas apabila penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi susulan pelaksanaan sekatan penuh, selepas mendapat persetujuan Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat.

Sementara itu, kenyataan itu turut memaklumkan kini 99 peratus kakitangan ERL, termasuk 100 peratus petugas barisan hadapan dan operasi syarikat itu telah menerima vaksinasi lengkap dengan hanya segelitir belum berbuat demikian berikutan masalah kesihatan dan perubatan.

“Melalui vaksinasi penuh dan pembersihan harian yang teliti pada tren dan stesen, orang awam tidak perlu risau akan keselamatan mereka dan dapat menikmati pengalaman yang selesa ketika menaiki tren,” menurut kenyataan itu.

Jadual penuh tren dan perkembangan terkini mengenai langkah berjaga-jaga, boleh dimuat turun di laman web www.KLIAekspres.com atau Facebook KLIA Ekspres, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu