Nation
191

Permohonan Syed Saddiq pindah kes ke Mahkamah Tinggi didengar 25 Nov

Kuala Lumpur – Permohonan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk memindahkan empat kes dihadapinya berkaitan pecah amanah, salah guna wang sumbangan dan pengubahan wang haram ke Mahkamah Tinggi akan didengar pada 25 November depan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asraf Mohamed Tahir, berkata tarikh itu ditetapkan hari ini ketika pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Catherine Nicholas.

“Permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan di mahkamah terbuka,” katanya di ketiga dihubungi, hari ini.

Pada 19 Ogos lalu, bekas Menteri Belia dan Sukan itu memohon kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini, atas alasan terdapat isu Perlembagaan yang akan dibangkitkan dalam kes itu dan lebih wajar dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Dalam notis permohonan difailkan menerusi Tetuan Haijan Omar & Co, Syed Saddiq, 29, turut memohon semua prosiding kes itu di Mahkamah Sesyen ditangguhkan sementara menunggu keputusan permohonan itu.

Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU yang diamanahkan penguasaan ke atas dana ARMADA, melakukan pecah amanah ke atas dana itu, dengan membuat pengeluaran wang berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad, tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini, pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Syed Saddiq juga menghadapi pertuduhan menyalahgunakan harta iaitu wang sumbangan untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sebanyak RM120,000 yang dikutip melalui akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic Berhad, Taman Pandan Jaya, di sini, antara 8 April hingga 21 April 2018, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun dengan sebatan dan boleh didenda.

Pada 5 Ogos lalu, di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Syed Saddiq didakwa atas dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya, yang juga hasil daripada aktiviti haram.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling di sini, pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu