Health
144

Perokok dijangkiti Covid-19 berdepan komplikasi lebih teruk

Putrajaya – Risiko kerosakan hati, buah pinggang dan sindrom gangguan pernafasan akut adalah antara komplikasi teruk yang dihadapi golongan perokok yang dijangkiti Covid-19, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata, data itu diperoleh melalui kajian Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai risiko komplikasi golongan perokok dijangkiti Covid-19 terhadap 5,889 kes yang dirawat di seluruh negara dari 1 Februari hingga 31 Mei 2020.

Daripada 5,889 pesakit itu, seramai 791 individu adalah perokok dengan 773 daripadanya merupakan perokok lelaki (97.7 peratus), manakala 18 lagi (2.3 peratus) adalah wanita, dan 5,098 lagi bukan perokok, dengan majoriti berumur 30 tahun ke atas.

“Perbandingan yang telah dibuat di antara golongan perokok dan bukan perokok menunjukkan bahawa golongan perokok berisiko hampir dua kali ganda mendapat komplikasi teruk berbanding bukan perokok,” katanya pada sidang media mengenai hasil dapatan kajian tersebut di sini, hari ini.

Kajian itu adalah kerjasama KKM melalui Bahagian Kawalan Penyakit, Bahagian Perkembangan Perubatan dan Institut Kesihatan Negara dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Putra Malaysia.

Beliau berkata, penemuan kajian berkenaan juga selari dengan kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 30 Jun lalu mengenai kesan rokok dan jangkitan Covid-19.

Ketua Sektor Kawalan Tembakau KKM dan Urusetia Pelan Tindakan Kawalan Tembakau Serantau (FCTC) Dr Nor Aryana Hassan ketika memperincikan hasil kajian itu, berkata, daripada 791 perokok terbabit, mereka turut mempunyai sejarah penyakit kronik iaitu darah tinggi sebanyak 16.7 peratus, diabetes (12.3 peratus), masalah jantung (5.2 peratus) dan paru-paru kronik 1.1 peratus.

Menurut Dr Nor Aryana, kajian juga menunjukkan 14.2 peratus perokok adalah pesakit Covid-19 kategori tiga iaitu mempunyai jangkitan paru-paru namun tidak memerlukan bantuan pernafasan, 4.4 peratus ialah kategori empat iaitu mempunyai jangkitan paru-paru dengan keperluan bantuan pernafasan manakala 1.6 peratus pesakit lagi adalah kategori lima iaitu kritikal.

Terdahulu, Dr Noor Azmi melancarkan perkhidmatan berhenti merokok mQuit fasa tiga iaitu dengan menambah baik perkhidmatan dalam talian https://jomquit.com/ sedia ada untuk memudahkan proses pendaftaran dan kebolehcapaian perkhidmatan tersebut.

Sebagai tambahan, katanya pembentukan Rakan Nasihat Komuniti (RNK) oleh Persatuan Mencegah Dadah Malaysia akan membantu dalam memberi maklumat berkaitan perkhidmatan berhenti merokok melalui laman sesawang tersebut. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu