Social
150

Peronda Akleh maut dirempuh kereta

Kuala Lumpur – Seorang peronda Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh) maut susulan kemalangan di Kilometer 5.7 di lebuhraya, di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Azman Junin, 55, sedang menjalankan tugas mengawal lalu lintas di lokasi sebelum dirempuh sebuah kereta yang hilang kawalan.

“Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 petang itu, mangsa bersama seorang rakannya sedang mengawal lalu lintas selepas sebuah kereta terbabas sambil dibantu oleh tiga lagi orang awam yang turut memberhentikan kereta di bahu kiri jalan.

“Kemudian, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Hyundai Tucson yang dipandu di lorong kanan secara tiba-tiba telah hilang kawalan dan merempuh kesemua lima kereta yang sedia berhenti di bahu kiri jalan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut Zulkefly rempuhan itu telah mengakibatkan beberapa orang mangsa mengalami kecederaan termasuk seorang daripada mereka meninggal dunia.

“Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak ambulans Hospital Kuala Lumpur dan seterusnya membawa jenazah ke hospital untuk proses bedah siasat yang dijangka akan dijalankan selepas saringan COVID-19 selesai.

“Siasatan berhubung kejadian masih diteruskan dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Bernama

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu