Nation
127

Persiapan Thaipusam di Pulau Pinang sederhana

Georgetown – Persiapan bagi sambutan Thaipusam pada 18 Jan ini berlangsung secara sederhana di Pulai Pinang berikutan pandemik COVID-19 yang masih belum reda, lebih-lebih lagi dengan kemunculan varian baharu Omicron.

Pemegang Amanah Kuil Nagarathar Thanduthabani Dr A. Narayanan berkata dalam kesederhanaan Thaipusam kali ini pihaknya telah melakukan kerja-kerja menggilap pedati perak yang berusia 135 tahun, di samping memasang lampu serta hiasan lain sejak dua minggu lepas, yang dilakukan oleh enam sukarelawan.

Beliau berkata selain itu pihaknya telah mohon kebenaran dari pihak berkuasa untuk membenarkan hanya seramai 100 orang terlibat dalam upacara perarakan pedati nanti.

“(Ia berbeza) berbanding sebelum pandemik, yang menyaksikan lebih 10,000 orang sertai perarakan. Hal ini bertujuan mengelak sebarang bentuk risiko penularan COVID-19,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini, hari ini.

Katanya penganut yang menyertai perarakan itu dikehendaki telah lengkap divaksin di samping telah mendaftar dengan jawatankuasa kuil, dan seterusnya mereka akan diberi kad khusus bagi tujuan menyertai perarakan.

“Setakat ini terdapat 89 orang penganut yang sudah mendaftar dan kita harap setiap daripada mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,” katanya.

Narayanan berkata perarakan pedati perak akan bermula pada 17 Jan iaitu pada pukul 6 pagi bermula di Kuil Nagarathar Kovil Vidu, Lebuh Penang, membawa arca Dewa Murugan dan dijangka akan sampai ke perkarangan kuil Nattukottai Chettiar, Jalan Kebun Bunga pada pukul 11 pagi, melibatkan tujuh perhentian terpilih sepanjang perjalanan sejauh 9 kilometer ke kuil berkenaan.

Sementara itu Pengerusi Thanneermalai Shree Balathandayuthapani Devasthanam, Datuk R. Subramaniam pula berkata pihaknya sudahpun memulakan persiapan bagi menjayakan perarakan pedati emas setinggi kira-kira 7.3 meter itu sejak dua minggu lepas.

“Buat masa ini sudah 70 peratus siap. Kita buat kerja-kerja menggilap pedati selain memperkemas hiasan seperti pemasangan kalung bunga, lampu hiasan dan sebagainya, melibatkan 20 orang dari pihak pengurusan kuil serta beberapa sukarelawan,” katanya yang ditemui Bernama di Kuil Thanneermalai Shree Balathandayuthapani Devasthanam, Jalan Kebun Bunga, di sini.

Beliau berkata dari segi kawalan SOP pada hari perayaan, pihaknya telah memohon pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) sebagai langkah untuk memastikan perjalanan pada hari itu berjalan lancar.

“Untuk perarakan pedati emas, kita hadkan kepada 500 orang penganut sahaja dan semua yang terlibat dalam perarakan mesti mematuhi SOP termasuk lengkap vaksin dan mendaftar dengan kuil terlebih dahulu,” katanya.

Katanya mengikut perancangan asal, perarakan pedati emas akan bermula pada 17 Jan bermula dari Lebuh Queen menuju ke Kuil Thanneermalai Shree Balathandayuthapani Devasthanam pada pukul 8 pagi, namun bergantung kepada keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang akan diumumkan kelak.

Perarakan pedati perak yang berusia lebih 100 tahun dan perarakan pedati emas yang bermula sejak lima tahun lepas adalah kemuncak perayaan tahunan Thaipusam selama tiga hari di negeri itu.

Pedati perak membawa arca dewa Murugan, manakala pedati emas pula membawa vel atau lembing sakti yang digunakan Dewa Murugan untuk menentang kejahatan.

Semalam, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang yang juga Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang (PHEB) P. Ramasamy berkata hanya upacara ‘paal kudam’ atau menjunjung belanga mengandungi susu dibenarkan tanpa melibatkan acara ‘kavadi’.

Di samping itu turut mendapat kebenaran pada sambutan Thaipusam tahun ini ialah upacara membayar nazar dengan mencukur rambut di perkarangan kuil, upacara memecah kelapa, gerai jualan dan pengedaran makanan percuma (thaneer panthal).

Katanya keputusan itu dicapai setelah pihaknya mengadakan mesyuarat dengan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique Khamis lepas, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu