Nation
306

Pertemuan dengan pemimpin parti PN hanya perjumpaan biasa : Muhyiddin

Kuala Terengganu – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pertemuan beliau dengan beberapa pemimpin utama parti dalam Perikatan Nasional (PN) semalam hanyalah satu perjumpaan biasa.

“Pertemuan biasa sahaja. Pasal sudah lama tidak jumpa, elok juga…rindu,” katanya secara berseloroh kepada pemberita selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Taman Tamadun Islam di sini hari ini.

Semalam, Muhyiddin mengadakan pertemuan kira-kira dua jam dengan beberapa pemimpin utama parti dalam PN di Perdana Putra, Putrajaya.

Antara yang hadir ialah Ketua Menteri Sarawak yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Ketika ditanya mengenai pertemuan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang petang ini selepas melawat PPV Taman Tamadun Islam, Muhyiddin berkata beliau hanya ingin menziarahi Ahli Parlimen Marang itu.

“Pasal kita tahu Tok Guru Haji Hadi tidak berapa sihat. Tetapi saya diberitahu Menteri Besar (Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) sudah jumpa tadi dan (Abdul Hadi) sudah bertambah sihat.

“Jadi pasal sudah lama tidak jumpa, saya jumpa (Abdul Hadi) semasa di hospital hari itu… mudah-mudahan dia bertambah sihat supaya dapat menjalankan tugas untuk parti dan negara,” katanya.

Pada Jun lepas, Abdul Hadi dimasukkan ke Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur selepas mengadu tidak sihat.

Tinjauan di kediaman Abdul Hadi di Rusila, Marang petang tadi mendapati kedua-dua pemimpin meluangkan masa kira-kira sejam namun pihak media tidak dimaklumkan mengenai butiran perjumpaan itu, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu