Nation
192

Pertemuan PM, pembangkang langkah awal ke arah politik baharu : Saifuddin

Kuala Lumpur – Pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pemimpin utama parti pembangkang disifatkan sebagai langkah awal yang penting ke arah politik baharu, kata Pengerusi Perikatan Nasional Pahang Datuk Saifuddin Abdullah.

Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata beliau telah mula membincangkan mengenai politik baharu sejak 2006 menerusi buku diterbitkan beliau berjudul ‘Politik Baharu’.

“Saya mula membincangkan mengenai Politik Baharu sejak 2006. Ia adalah idea yang masih menunggu pelaksanaannya. Sudah tentu saya memahami dinamik politik sebenar. Tetapi saya masih perlu teruskan idea ini,” kata Saifuddin menerusi hantaran di akaun Twitter rasmi beliau hari ini.

Semalam, Ismail Sabri mengadakan pertemuan dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Pertemuan yang berlangsung selama lebih satu jam itu antaranya tertumpu kepada agenda kepentingan rakyat dalam mencari titik persamaan terbaik bagi menangani pandemik COVID-19.

Berkongsi mengenai buku itu, Saifuddin berkata buku tersebut mengandungi dua bahagian utama dengan bahagian pertama menghuraikan mengenai keperluan meninggalkan amalan politik lama yang negatif seperti politik ampu, politik fitnah dan politik undi.

Sebaliknya, beliau berkata politik baharu yang lebih bersih dan segar seperti politik ilmu, politik hikmah dan politik bakti perlu menjadi amalan di negara ini.

Saifuddin yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Pahang berkata bahagian kedua pula menceritakan perubahan politik negara ke tahap lebih tinggi dan meninggalkan perbezaan politik yang terlalu adversarial atau tajam seperti lawan politik dijadikan musuh ketat.

“Saya menyarankan amalan ‘kerangka governans baharu’ iaitu perundingan atas semangat rakan pembangunan antara tiga sektor utama pembangunan iaitu kerajaan, perniagaan dan masyarakat sivil. Dalam konteks ini, pertemuan yang dianjurkan perdana menteri semalam adalah amat signifikan,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu