Nation
447

Pertukaran portfolio bukan ‘downgrade’ : Takiyuddin

Kota Bharu – Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata beliau tidak menganggap pertukaran portfolionya daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) kepada Menteri Tenaga dan Sumber Asli sebagai ‘downgrade’.

Sebaliknya, beliau berkata perubahan dalam portfolio Kabinet itu dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berdasarkan perancangan dan sasaran pelaksanaan kerja yang menekankan budaya kerja berprestasi tinggi.

“Itu terpulang kepada penilaian masing-masing kerana ada (juga) orang kata saya ‘promoted’ (dinaikkan pangkat) kerana (jawatan sebelum ini) kementerian pun tak ada, kita diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Bagi saya semua portfolio ada kementerian atau tidak sama sahaja, yang penting individu atau menteri itu sendiri buktikan dia boleh laksanakan kerja dengan baik, itu yang penting, saya bertekad untuk bekerja sebaik mungkin dalam kementerian baharu ini untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Parlimen Kota Bharu, di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai pelantikannya sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Takiyuddin berkata beliau yakin mampu melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan itu dengan bantuan Timbalan Menteri Datuk Ali Biju serta pegawai-pegawai kementerian.

“Saya bukan orang teknikal tetapi portfolio baharu ini setakat kajian saya turut merangkumi banyak aspek perundangan sebagai contoh aspek tanah, sumber asli dan tenaga,” katanya.

Mengenai perancangan mengemudi kementerian baharu itu kelak, Takiyuddin berkata beliau akan meneruskan dasar serta inisiatif yang telah dilaksanakan menteri sebelum ini, selain akan menambah baik sistem sedia ada berdasarkan keperluan.

“Dasar-dasar yang baik kita teruskan dan kita akan tambah baik juga,” katanya yang akan memastikan bekalan elektrik disalurkan kepada kawasan yang masih belum mendapat keperluan asas itu, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu