Kuala Lumpur Post

Nation

Pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal walaupun PMI bulan Okt rendah

KUALA LUMPUR — MIDF Research menjangkakan momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia dapat dikekalkan berikutan permintaan domestik yang semakin meningkat walaupun Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan terus turun kepada 48.7 pada bulan lepas daripada 49.1 pada September 2022.

Firma penyelidikan itu berkata walaupun bacaan PMI terus menunjukkan permintaan yang semakin perlahan, data perdagangan luaran kekal kukuh yang sekali gus mengetepikan kebimbangan kelembapan.

“Walaupun pengeluar di negara lain menyatakan kebimbangan mereka mengenai prospek, pengeluar Malaysia terus mempamerkan sentimen optimistik.

“Namun begitu, kami masih mengekalkan prospek optimistik yang berhati-hati untuk aktiviti pengeluaran dan perdagangan domestik.

“Ini terutamanya disebabkan oleh ketidaktentuan di bahagian luaran seperti jangkaan permintaan akhir yang lemah dari ekonomi maju di tengah-tengah kebimbangan terhadap risiko kemelesetan, sekatan COVID-19 yang lebih ketat di China serta peningkatan ketegangan geopolitik dan perdagangan,” kata MIDF Research.

Selain itu, firma penyelidikan itu berkata terdapat juga tanda-tanda prestasi perdagangan serantau yang lebih lemah.

Menurutnya, Korea Selatan pada Selasa melaporkan eksportnya merosot 5.7 peratus tahun ke tahun pada Oktober 2022 berikutan permintaan kurang menggalakkan dari China.

Begitu juga Taiwan yang melaporkan penyusutan 5.3 peratus dalam eksport tahun ke tahun pada September 2022, diheret turut oleh penghantaran yang berkurangan ke China.

Tags: ,