Kuala Lumpur Post

Nation

Peruntukan RM10 juta untuk YBGK, bagi membantu golongan tidak mampu dapatkan bantuan guaman : PM

KUALA LUMPUR — Peruntukan RM10 juta kepada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi lebih banyak peluang kepada rakyat mendapatkan bantuan guaman secara percuma bagi menuntut keadilan di mahkamah.

Seorang wanita yang dikenali sebagai Raidah, 42, berkata kebanyakantertuduh yang tidak berkemampuan sememangnya memerlukan khidmat guaman percuma bagi membantu mereka mendapatkan keadilan.

“Dengan menggunakan khidmat guaman ini, keluarga tidak perlu mengeluarkan wang untuk melantik peguam, sekali gus meringankan beban keluarga pesalah memandangkan mereka telah mengeluarkan duit untuk membayar wang jaminan,” katanya ketika ditemui Bernama di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Wanita itu yang merupakan penjamin kepada adiknya yang didakwa atas pertuduhan dadah berkata peruntukan itu juga memberi semangat kepada peguam untuk mewakili tertuduh secara pro-bono.

Anwar dalam ucaptama pada Persidangan Undang-Undang Malaysia Antarabangsa hari ini berkata peruntukan RM10 juta itu adalah sebagai usaha membantu golongan yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan bantuan guaman.

Menurut Anwar, sejak YBGK mula beroperasi pada 2012, penyediaan khidmat itu telah menyaksikan ratusan ribu orang telah mendapat pembelaan dalam prosiding jenayah.

Seorang kerani yang dikenali sebagai Fuad berkata peruntukan berkenaan ialah inisiatif yang amat baik dan melegakan ahli keluarga tertuduh.

“Semua rakyat tidak mengira latar belakang, berhak diwakili peguam dalam prosiding di mahkamah untuk menuntut keadilan. Dengan peruntukan ini, YBGK boleh membela nasib lebih ramai lagi golongan yang kurang berkemampuan,” katanya.

Suri rumah, Aina, 51, berkata peruntukan tersebut sedikit sebanyak membantu golongan yang tidak berkemampuan terutama mereka yang tinggal di kawasan pendalaman.

“Saya sendiri berasal dari Sabah tidak mempunyai wang yang cukup untuk melantik peguam. Dengan pengumuman ini, ia dapat membantu kami mendapat keadilan yang sewajarnya,” katanya yang hadir ke mahkamah bagi mengikuti kes anaknya yang didakwa atas pertuduhan menipu.

S.Kumar, 40, pula berkata langkah kerajaan itu adalah satu penambahbaikan kepada YBGK memandangkan yayasan itu adalah satu-satunya cara untuk membantu mereka yang ingin mendapatkan keadilan di mahkamah secara percuma.

“Saya berpendapat bahawa khidmat guaman YBGK secara percuma ini perlu disebar luas kepada orang ramai memandangkan masih ada lagi yang tidak tahu kewujudan yayasan tersebut dan ada yang menganggap khidmat guaman ini mengenakan bayaran,” kata pemandu e-hailing itu.

Peguam Syahidah Ismail pula berkata melalui peruntukan itu, ia membuka peluang kepada lebih ramai peguam untuk menjadi sukarelawan bagi memberi perkhidmatan guaman percuma kepada masyarakat, lapor Bernama.

Tags: ,