Social
278

Pesakit Covid-19 datang pejabat bawa tangki oksigen

New Delhi – Nasib malang berganda menimpa  seorang  pekerja di India apabila dia bukan sahaja dijangkiti Covid-19 tetapi tidak diberi cuti dan terpaksa hadir ke pejabat bersama tangki oksigen yang digunakan untuk rawatannya, lapor laman berita  Oddity Central kelmarin.

Arvind Kumar yang bekerja sebagai seorang pengurus Bank Nasional Punjab cawangan Bakaro di negeri Jharkhand, hadir ke pejabatnya dengan memakai  topeng dan menyeret tangki oksigen.

Dalam rakaman video yang tular di media sosial, Arvind boleh didengari berkata, dia tidak diberikan cuti dan terpaksa hadir ke pejabat seperti biasa biarpun sedang menerima rawatan.

“Doktor berkata saya akan mengambil masa selama tiga bulan untuk sembuh kerana virus itu sudah menjangkiti paru-paru saya,” kata Arvind kepada portal berita Livehindustan.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada 25 Mei lalu di Sektor 4 bank tersebut.

Bank tersebut menerima kecaman hebat, namun institusi kewangan itu menjelaskan bahawa Arvind sengaja mengada-adakan cerita untuk memburukkan nama bank itu.

Menurut satu siaran akhbar yang dikeluarkan bank tersebut, Arvind telah meletak jawatan, namun permohonannya itu ditangguhkan kerana pihak bank sedang menjalankan siasatan terhadapnya berkenaan pinjaman aset tidak lancar (NPA).

“Adalah salah untuk memfitnah bank dengan mengatakan dia tetap perlu hadir ke pejabat biarpun sedang menerima rawatan sebagai pesakit Covid-19.

“Cuti bergaji diberikan kepada semua pekerja yang dijangkiti virus itu termasuk mereka yang berisiko tinggi. Jadi, tuduhan tersebut tidak berasas,” demikian kenyataan pada siaran akhbar itu.

Livehindustan melaporkan bahawa keluarga Arvind berkata bahawa  bank itu mengugut untuk memotong gaji Arvind sekiranya dia tidak hadir ke pejabat, seterusnya memaksa lelaki itu datang bekerja bersama tangki oksigen serta tidak memaklumkan tentang siasatan terhadapnya oleh pihak bank. — Agensi

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu