Nation
186

Pesakit Covid-19 kategori 3 ada rekod komorbid dimasukkan ke hospital, PKRC : Khairy

Tampin – Pesakit COVID-19 kategori 3 yang mempunyai rekod komobid akan dimasukkan ke hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) bagi mendapat rawatan serta pemantauan daripada doktor dan petugas kesihatan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata bagi kes tertentu seperti membabitkan wanita hamil, warga emas dan keadaan rumah pesakit COVID-19 yang tidak sesuai untuk kuarantin, mereka turut diberi keutamaan mendapatkan rawatan di hospital.

“Bagaimanapun, bagi pesakit COVID-19 dalam kategori sama yang tiada komobiditi, KKM (Kementerian Kesihatan) masih menyarankan mereka menjalani kuarantin di rumah.

“Saya mahu ingatkan pesakit yang menjalani kuarantin di rumah, mereka perlu sentiasa menggunakan ‘home assessment tool’ dalam MySejahtera dalam usaha menurunkan kadar kematian di luar hospital (BID),” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Hospital Tampin, di sini hari ini.

Beliau berkata, sekiranya keadaan kesihatan merosot dan sukar bernafas, sakit dada atau ketepuan oksigen kurang daripada 95 peratus, mereka perlu segera menelefon ambulans untuk mendapatkan rawatan susulan di hospital atau PKRC.

Media sebelum ini melaporkan KKM disaran terus memasukkan pesakit COVID-19 kategori 3 ke hospital yang dilengkapi kemudahan unit rawatan rapi (ICU) dan peralatan penting berbanding membiarkan mereka menjalani kuarantin kendiri.

Dalam perkembangan lain, Khairy memuji usaha proaktif semua pihak serta petugas kesihatan di Negeri Sembilan yang berjaya beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini dengan penurunan kes jangkitan COVID-19 serta proses vaksinasi yang berjalan lancar.

“Penggunaan ICU, alat pernafasan dan katil hospital COVID-19 berada di bawah paras 70 peratus di negeri ini. Dalam tempoh sebulan lalu, pesakit yang telah dimasukkan ke hospital akibat COVID-19 telah menurun daripada 899 kepada 319 individu sahaja.

“Ia penurunan sebanyak 65 peratus dalam tempoh masa sebulan. Kes jangkitan harian turut berkurang, sekali gus menunjukkan kejayaan awal program imunisasi di Negeri Sembilan,” katanya.

Sementara itu, katanya, Negeri Sembilan akan menerima 12,000 dos vaksin CanSino secara berperingkat, iaitu 2,000 pada 13 September ini dan selebihnya pada 27 September untuk penerima di kawasan pedalaman dan perkampungan Orang Asli.

Susulan kejayaan negeri ini menurunkan kes jangkitan COVID-19, beliau optimis perubahan sama akan berlaku di Selangor dan Kuala Lumpur dalam tempoh terdekat memandangkan proses vaksinasi di negeri terbabit tinggi, namun dibezakan dengan kepadatan penduduk.

Khairy berkata, KKM tidak mahu tergesa-gesa membuka lebih banyak sektor lain tanpa melaksanakan penilaian risiko yang ketat bagi memastikan pembukaan negara dijalankan dengan satu pendekatan lebih berhati-hati dan selamat kepada penduduk, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu