Nation
194

Pesakit kronik perlu sihat, tahu jenis ubat yang diambil sebelum ke PPV

Kangar – Golongan berisiko tinggi terutama pesakit kronik yang bakal menerima vaksin dinasihatkan melakukan beberapa persediaan seperti memastikan mereka dalam keadaan sihat selain perlu tahu nama ubat yang diambil atau membawa ubat ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk ditunjukkan kepada petugas.

Pakar Perunding Kanan Perubatan Dalaman Hospital Pakar KPJ Perlis, Dr Nurazam Omar, berkata mereka juga perlu segera memaklumkan kepada petugas sekiranya mengalami sebarang gejala dijangkiti wabak COVID-19 dan turut dinasihatkan untuk membawa pen sendiri bagi mengelak risiko dijangkiti.

Justeru, katanya pesakit kronik tidak perlu takut atau risau untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 kerana ia perlu bagi melindungi mereka daripada mendapat kesan yang teruk jika dijangkiti virus itu.

Dr Nurazam berkata vaksin boleh diibaratkan sebagai ‘perisai’ kerana ia dapat mengurangkan risiko jangkitan bagi pesakit kronik yang merupakan antara golongan tertinggi yang mendapat jangkitan wabak berkenaan.

“Mereka yang mengambil ubat atau dalam tempoh rawatan juga tidak perlu bimbang untuk mengambil vaksin COVID-19 kerana ia selamat.

“Nisbah kadar kemungkinan mendapat kesan sampingan daripada suntikan vaksin COVID-19 antara individu sihat dan mereka yang mempunyai penyakit adalah sama, jadi pesakit kronik tidak perlu risau akan perkara ini,” katanya kepada Bernama.

Dr Nurazam berkata antara kelebihan vaksin kepada pesakit kronik yang dijangkiti COVID-19 ialah mereka dapat mengurangkan risiko kebolehjangkitan virus berkenaan kepada ahli keluarga terdekat lain terutama yang berumur 18 tahun ke bawah.

Sementara itu, seorang pesakit jantung Mohamad Asri Shafii, 45, berkata walaupun vaksin bukan jaminan untuk ‘kebal’ daripada virus COVID-19 ia memberi lebih keyakinan untuk beliau terus bekerja seperti biasa.

“Sebagai seorang pencipta kandungan di laman sosial YouTube, saya kerap berada di kawasan awam dan tumpuan orang ramai .. saya rasa lebih selamat setelah menerima vaksin,” katanya yang tinggal di Taman Seri Pulai, Behor Pulai di sini.

Bapa kepada enam orang anak yang mula dikesan mengalami masalah jantung sejak enam tahun lalu itu berkata vaksin jenis Pfizer yang diambilnya sebelum ini tidak mendatangkan kesan sampingan atau alahan kepada ubat sakit jantung yang diambilnya setiap hari.

Turut berkongsi pengalaman yang sama, seorang petani Aziz Itam, 61, berkata pada mulanya beliau rasa takut untuk menerima dos pertama vaksin Pfizer pada 23 April lalu namun setelah tidak mengalami sebarang kesan sampingan, beliau lebih berani untuk melengkapkan dos kedua pada 18 Mei lepas di PPV Dewan 2020.

“Walaupun setiap hari pak cik mengambil empat jenis ubat sehari bagi penyakit darah tinggi… Alhamdulillah tiada kesan sampingan yang diterima setakat hari ini.

“Nak kata bertambah sihat selepas ambil vaksin itu tak ada lah… cuma pak cik rasa lebih selamat dan yakin apabila pergi ke tempat tumpuan orang ramai seperti ke pasar tani,” kata bapa kepada enam orang anak dari Kampung Santan di sini. — Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu