Social
252

Pesakit mental separuh bogel, cuba ganggu wanita ditahan

Kota Bahru – Polis telah menahan seorang pesakit mental dipercayai individu yang melakukan perbuatan tidak senonoh dan lucah dalam keadaan separuh bogel di sebuah kedai menjual telefon bimbit di Jalan Pintu Pong, di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan ACP Wan Khairuddin Wan Idris berkata tangkapan terhadap lelaki berusia 26 tahun itu dilakukan di tempat kejadian selepas pihak polis menerima panggilan daripada seorang wanita yang merupakan jurujual di kedai berkenaan.

“Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang, semasa pengadu bersama dua rakan sekerja berada di kedai tersebut didatangi seorang lelaki yang tidak dikenali dengan memakai t-shirt berwarna merah dan tidak berseluar serta cuba memegang pengadu.

“Susulan itu, pengadu bersama rakan sekerja keluar dari kedai dan terus menghubungi pihak polis. Pengadu dan dua rakan sekerjanya tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Khairuddin berkata suspek yang tinggal tidak jauh dari lokasi kejadian mengalami masalah mental serta kemurungan sejak awal tahun ini.

“Lelaki terlibat juga dikatakan baru seminggu dibenarkan pulang ke rumah dari pusat rawatan,” katanya sambil menambah suspek telah dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini, untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Beliau berkata kes akan disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana perbuatan mengaibkan penghormatan.

Terdahulu, tular dalam aplikasi WhatsApp, satu rakaman kamera litar tertutup berdurasi lebih dua minit memaparkan seorang lelaki tanpa memakai seluar berkelakuan lucah dan cuba menyentuh tiga pekerja wanita di kedai tersebut. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu