Kuala Lumpur Post

Social

Pesakit mpox sihat, stabil

KUALA LUMPUR — Seorang pesakit yang disahkan positif cacar monyet atau mpox varian clade II minggu lalu, semakin sihat dan dalam keadaan stabil, kata Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, individu itu menunjukkan perkembangan positif dan dalam proses menamatkan tempoh isolasi selepas disahkan positif mpox 16 Sept lalu.

Pesakit itu dalam tempoh pengasingan (isolasi), keadaannya stabil dan sihat. Kita (Kementerian Kesihatan) akan tamatkan tempoh isolasi beliau. Kita akan beritahu (tempoh isolasi tamat), katanya selepas menghadiri program Gotong Royong Mega Perangi Aedes 2.0, 1 Hour Malaysia Clean Up dan Hari Cuci Malaysia di sini.

Pada 17 Sept lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dilaporkan berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu kes positif mpox varian clade II, hasil daripada 58 kes disyaki mpox dirujuk kepadanya sepanjang tahun ini.

Dzulkefly berkata, tiada kes baharu mpox direkodkan dalam negara setakat ini dan pihaknya sedang menunggu ketibaan bekalan vaksin MVA-BN, yang dikhususkan kepada kumpulan berisiko tinggi, termasuk petugas kesihatan serta kontak rapat kes mpox.

Mengenai pembiakan Aedes, beliau berkata, proses pembiakan nyamuk itu menjadi sangat aktif apabila berlaku perubahan iklim kerana terdapat perubahan suhu ketara.

Semalam, KKM melaporkan keadaan cuaca memainkan peranan penting dalam penularan demam denggi kerana ia mempengaruhi habitat dan kelangsungan hidup nyamuk Aedes Aegypti, dengan Jabatan Meteorologi baru-baru ini memaklumkan fasa peralihan monsun bermula 24 Sept lalu dijangka berterusan hingga November ini.

Sehingga Minggu Epidemiologi ke-38 dari 15 hingga 21 Sept lalu, KKM melaporkan 1,514 kes demam denggi dengan dua kematian akibat komplikasi demam denggi.

Merujuk data itu, Dzulkefly berkata, KKM akan memperkasakan aktiviti pencegahan dan kawalan denggi melalui pejabat kesihatan daerah, klinik kesihatan dan pasukan sukarelawan Komunikasi untuk Perubahan Tingkahlaku (COMBI).

Antara aktiviti dijalankan KKM adalah pemantauan kawalan vektor, pemeriksaan tempat pembiakan Aedes dan jalinan kerjasama dengan pelbagai agensi.