Social
173

Pesara guru rugi lebih RM133,000 diperdaya ‘kakitangan TM’

Alor Setar – Seorang pesara guru kerugian lebih RM133,000 akibat diperdaya oleh sindiket Macau Scam selepas menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang menyamar sebagai kakitangan Telekom Malaysia (TM), akhir bulan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah Supt Elias Omar berkata wanita berusia 53 tahun itu yang menetap di Jalan Kuala Kedah, di sini menerima panggilan daripada ‘kakitangan TM’ tersebut pada jam 12.30 tengah hari, 20 Mei lepas dengan memaklumkan talian perkhidmatan TM dilanggannya akan ditamatkan kerana terlibat dengan aktiviti judi dalam talian.

“Panggilan mangsa (pesara guru) kemudian disambung kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban lalu mangsa bercakap dengan seorang wanita mengaku sebagai Sarjan Lai Lee Cheng yang mengesahkan nama mangsa terlibat dengan pelbagai jenayah.

“Mangsa kemudian dihubungkan pula kepada seorang lelaki yang kononnya bernama ACP Dato Mohd Hafiz Abdullah dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan yang menyatakan mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan pengedaran dadah serta terdapat waran tangkap ke atas mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Elias berkata panggilan mangsa kemudian disambungkan semula kepada IPD Seremban dan ditawarkan tiga pilihan bagi menyelesaikan warang tangkap tersebut iaitu sama ada akan direman, dibeku akaun bank atau memberi kerjasama kepada polis.

Beliau berkata mangsa memilih untuk memberi kerjasama dan berikutan itu mangsa diminta mengikut semua arahan yang diberikan.

Menurut Elias, akibat terpedaya, mangsa telah membuat pembayaran sebanyak 16 kali ke lima akaun berbeza secara pindahan dan deposit tunai membabitkan transaksi keseluruhan berjumlah RM133,410 mulai 20 Mei hingga 22 Mei lalu.

Katanya, kesemua wang itu merupakan simpanan mangsa dan pinjaman daripada keluarga serta rakan sekerja.

“Mangsa menyedari ditipu selepas dia memberitahu perkara sebenar kepada ahli keluarganya berkaitan pinjaman wang yang dibuat dan mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Alor Setar pada 30 Mei,” katanya dengan menambah kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Justeru, Elias mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan panggilan telefon kononnya daripada agensi kerajaan, pihak bank atau agensi seperti Pos Malaysia dan TM kerana ia hanya taktik penyamaran sindiket untuk memperdaya mangsa. — Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu