BATU PAHAT — Seorang pesara guru kerugian RM249,682 akibat terpedaya dengan sindiket perkhidmatan pembersihan rumah tidak wujud.
Ketua Polis Batu Pahat Ismail Dollah berkata wanita 59 tahun itu pada mulanya tertarik dengan iklan tawaran perkhidmatan pembersihan rumah di Facebook pada 13 April lalu.
Katanya mangsa kemudian berurusan dengan seorang individu melalui aplikasi WhatsApp yang mengarahkannya menekan pautan diberikan bagi proses permohonan dan pembayaran atas perkhidmatan tukang cuci.
“Suspek meminta mangsa memasukkan butiran diri dan maklumat perbankan, namun mangsa mendapati proses pembayaran gagal disebabkan pautan itu bermasalah,” katanya menurut Sinar Harian.
Menurutnya mangsa dihubungi pihak bank memaklumkan pindahan wang RM249,682 secara berperingkat, tetapi tidak disedari mangsa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997.
Beliau menasihatkan orang ramai lebih berhati-hati apabila menekan sebarang pautan dan tidak memberi maklumat peribadi serta perbankan kepada mana-mana pihak.
“Buat semakan dengan pihak berkuasa terlebih dahulu jika terdapat keraguan.”