Kuala Lumpur Post

Social

Pesara guru rugi RM218,900 jadi mangsa ‘phone scam’

KUALA TERENGGANU — Pesara guru di daerah ini kerugian RM218,900 apabila wang pencen dan simpanannya lesap selepas menjadi mangsa penipuan sindiket ‘phone scam’.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kejadian bermula apabila wanita berusia 65 tahun yang berada di rumahnya menerima panggilan telefon daripada individu mendakwa dari ‘sebuah pusat perubatan’ pada 31 Ogos lalu.

Beliau berkata, suspek memaklumkan wanita itu kononnya mempunyai tuntutan insurans sebanyak RM68,800, namun ia dinafikan mangsa, lapor Harian Metro.

“Pada 24 September lalu, mangsa diarahkan membuka satu akaun bagi tujuan pemantauan Bank Negara Malaysia sebelum diarahkan membuat simpanan tetap sebanyak RM5,000 ke dalam akaun berkenaan.

“Mangsa turut diminta memindahkan wang daripada akaun Tabung Haji sebanyak RM201,900 ke dalam akaun sama.

“Wanita terbabit menyedari dia ditipu selepas menceritakan situasi itu kepada anaknya pada 26 September lalu. Hasil semakan dengan pihak bank semalam mendapati, baki dalam akaun banknya hanya tinggal RM100,” katanya.

Azli berkata, semakan mendapati 20 kali transaksi membabitkan kerugian RM218,900.

Katanya, mangsa kemudian membuat laporan polis pada hari sama.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu,” katanya.