Social
331

Pesara hakim saman kerajaan, PM

Kuala Lumpur – Seramai 35 individu terdiri daripada bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi termasuk di Sabah dan Sarawak serta tujuh balu bekas hakim memfailkan saman terhadap Kerajaan Malaysia dan tiga pihak lain berhubung kegagalan menetapkan kenaikan pencen dan faedah diterima mereka sejak 2015.

Hakim bersara terbabit termasuk bekas Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Siti Norma Yaakob dan Tan Sri Haidar Mohamed Nor, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yunos serta 31 individu lain memfailkan saman pemula itu minggu lepas di Mahkamah Tinggi di sini menerusi Tetuan Chooi & Company + Cheang & Ariff.

Mereka menamakan Kerajaan Malaysia, Perdana Menteri, Jemaah Menteri dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam sebagai defendan.

Dalam saman itu, kesemua plaintif memohon deklarasi bahawa kegagalan untuk menetapkan peratusan kenaikan lebih tinggi daripada dua peratus setiap tahun yang sesuai ke atas pencen dan faedah lain bagi setiap plaintif mengikut Seksyen 15B(2) Akta Saraan Hakim 1971 (Akta 45) melalui perintah dalam Warta telah melanggar Perkara 125(7) dan 125(9) Perlembagaan Persekutuan.

Mereka memohon perintah bahawa defendan kedua atau ketiga (Perdana Menteri dan Jemaah Menteri) hendaklah menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan peratusan kenaikan lebih tinggi daripada dua peratus setiap tahun yang sesuai ke atas pencen dan faedah lain yang diberikan kepada setiap plaintif berkuat kuasa dari 1 Julai 2015 mengikut Seksyen 15B(2) akta tersebut.

Selain itu, mereka memohon perintah mahkamah supaya defendan membayar amaun yang setiap plaintif berhak terima sejak 1 Julai 2015 selain kos, faedah dan perintah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Plaintif berkata mengikut Seksyen 15B Akta Saraan Hakim 1971, pencen hakim bersara dan orang tanggungan hakim yang telah meninggal dunia diselaraskan secara automatik berdasarkan gaji semasa hakim masih berkhidmat yang disemak secara berperingkat dari semasa ke semasa sebagaimana yang wajib dilakukan menurut Perkara 125(7) dan 125(9) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut plaintif, cara pengiraan pelarasan dinyatakan dalam Jadual Ketiga dan Keempat akta terbabit tetapi ia dipadamkan daripada akta itu menyebabkan hak mereka terjejas apabila gaji hakim yang sedang berkhidmat dinaikkan berkuat kuasa pada 1 Julai 2015.

“Di bawah peruntukan Seksyen 15B Akta Saraan Hakim 1971 (sebelum pindaan dibuat), pencen plaintif akan diselaraskan secara automatik sejajar dengan kenaikan gaji hakim yang masih berkhidmat.

“Bagaimanapun, mengikut peruntukan Seksyen 15B(1) (selepas pindaan dan dikira secara retrospektif), pencen hakim bersara diselaraskan setiap tahun dengan kenaikan dua peratus dan tidak lagi mengambil kira kenaikan gaji yang diterima oleh hakim yang masih berkhidmat,” menurut plaintif dalam saman itu.

Plaintif berkata keadaan itu menyebabkan mana-mana hakim yang dilantik sebelum 1 Jan 2014 akan menerima pencen lebih rendah daripada sepatutnya.

Menurut mereka, Perkara 125(7) yang dibaca bersama Perkara 125(9) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa hak pencen seseorang hakim dilarang atau secara mandatori dihalang daripada diubah sehingga merugikan beliau selepas pelantikannya, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu