JOHOR BAHARU — Seorang pesara mengalami kerugian lebih RM1.2 juta selepas terpedaya dengan pelaburan saham tawaran awam permulaan (IPO) secara dalam talian, dua bulan lalu.
Ketua Polis Johor, M Kumar, berkata mangsa berusia 70 tahun itu yang membuat laporan polis semalam, mendakwa ditipu pelaburan berkenaan selepas terlihat satu iklan di media sosial awal Jun lalu.
Katanya, mangsa kemudiannya berurusan dengan seorang individu di WhatsApp untuk mendapatkan maklumat lanjut selepas iklan terbabit menawarkan pelaburan dengan pulangan tinggi.
“Selepas mendengar penjelasan yang diberikan serta keuntungan yang bakal diperoleh, mangsa berminat untuk membuat pelaburan.
Pada Julai lalu, mangsa membuat pelaburan pertama dan menerima keuntungan sebagai mana dijanjikan menyebabkan mangsa percaya pelaburan itu betul, katanya menerusi kenyataan media hari ini, menurut Harian Metro.
M Kumar berkata mangsa mendakwa dijanjikan akan menerima pulangan lebih tinggi sekiranya menambah pelaburannya.
“Mangsa yang mempercayainya kemudian membuat beberapa transaksi pembayaran sehingga berjumlah RM1,244,202 ke beberapa akaun bank.
“Warga emas itu syak ditipu selepas dia tidak menerima sebarang pulangan atas pelaburan tambahan yang dibuat, sebaliknya terus didesak untuk menambah lagi jumlah pelaburannya.
Mangsa kemudian membuat laporan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu, katanya.