Kuala Lumpur Post

Social

Pesara rugi lebih RM260,000 ditipu ‘scammer’

KUANTAN — Seorang pesara mengalami kerugian berjumlah RM260,388 selepas terpedaya sindiket penipuan secara dalam talian.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata berdasarkan laporan, pesara lelaki berusia 55 tahun dari Lipis itu berminat menyertai satu skim pelaburan saham patuh syariah yang dijanjikan keuntungan lumayan pada awal Disember tahun lalu.

Katanya, mangsa kemudiannya membuat pemindahan wang sebanyak RM500 dan memperolehi keuntungan sebanyak RM110.

“Selepas itu, suspek meminta mangsa mendaftar satu portal untuk melihat pergerakan saham.

“Dalam tempoh sebulan bermula 17 Disember lalu, mangsa diminta untuk membayar cukai dan membuka akaun bagi memperoleh wang pelaburan.

“Berikutan itu, mangsa membuat 14 kali transaksi kepada lima akaun berbeza sehingga mengalami kerugian berjumlah RM260,388,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam kes berasingan, Yahaya berkata seorang jururawat berusia 50 tahun sanggup membuat pinjaman bank dan menjual barangan kemas, selepas diperdayakan sindiket Macau Scam sehingga kerugian RM105,000.

Mangsa mendakwa dihubungi suspek pada 26 November tahun lepas, yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) yang sedang membuat siasatan kes pengubahan wang haram melibatkan nama mangsa.

Mangsa menafikan dakwaan itu, namun talian kemudian dikatakan disambungkan kepada seorang anggota “polis” yang menggertak bahawa mangsa akan dikenakan hukuman berat atas kesalahan itu.

Anggota “polis” itu didakwa telah mengarahkan mangsa untuk membuat pemindahan wang ke empat akaun berbeza kononnya bagi tujuan siasatan dan mangsa yang bimbang dikenakan hukuman, telah sedaya upaya memenuhi arahan itu.

Mangsa membuat laporan di balai polis di Jerantut semalam, selepas sedar ditipu kerana gagal menghubungi suspek bagi bertanyakan perkembangan siasatan.

Katanya, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Tags: , , ,