Kuala Lumpur Post

Social

Pesara rugi RM10 juta terpedaya skim pelaburan kripto

KUALA LUMPUR — Wanita warga emas yang juga pesara kerugian RM10 juta selepas terpedaya dengan pelaburan berasaskan mata wang kripto dikenali ‘Accerx.Com.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata JSJK simpatikerugian besar yang dialami oleh mangsa berusia 80 tahun yang ditipu dalam skim pelaburan tidak wujud.

Menurutnya, melalui satu laporan polis yang dibuat semalam, mangsa yang juga seorang pesara memaklumkan mula menyertai skim pelaburan itu setelah dimasukkan ke dalam kumpulan sembang WhatApps yang mempromosikan skim pelaburan berasaskan mata wang kripto dikenali sebagai ‘accerx.com’.

“Melalui kumpulan sembang itu, mangsa berurusan dengan seorang lelaki yang kononnya akan mendahulukan wang untuk pembelian kripto.

“Mangsa diminta untuk membuat bayaran balik setelah pembelian kripto itu berjaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramli berkata, terpedaya dengan helah yang digunakan, mangsa membuat 13 transaksi bayaran ke beberapa akaun bank atas nama lapan syarikat yang berbeza membabitkan keseluruhan wang yang dibayar adalah RM10,455,288.

“Mangsa mulai sangsi dengan kesahihan pelaburan itu apabila masih diminta untuk membuat beberapa bayaran tambahan atas pelbagai alasan.

“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, JSJK memberi jaminan siasatan yang sewajarnya akan dilaksanakan bagi memastikan sindiket penipuan pelaburan ini dapat ditumpaskan.

“Sebagai langkah pencegahan, orang ramai khususnya warga emas adalah dinasihatkan untuk lebih berwaspada dan tidak mudah percaya kepada tawaran pelaburan atas talian yang dipromosikan melalui laman sosial.

“Lakukan semakan dengan agensi yang berkaitan termasuklah Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM)sebelum mengambil keputusan untuk menyertai skim pelaburan,” katanya.

Katanya, sebarang nasihat atau maklumat lanjut, orang ramai bolehlah menghubungi balai polis berhampiran atau mengemukakan pertanyaan kepada CCID infoline melalui talian 0132111222.

Tags: , , ,