Social
374

Pesara tentera ditemukan rentung dalam van

Kota Bharu – Seorang lelaki ditemukan rentung di dalam sebuah van yang hangus terbakar berdekatan Kampung Bechah Kura, Peringat, dekat sini, petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC Abdullah Muhammad Piah berkata mayat itu dijumpai di tempat duduk pemandu kira-kira 4.45 petang.

“Laporan penemuan mayat itu dibuat oleh orang awam di Balai Polis Melor pada kira-kira 4 petang sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Tempat kejadian merupakan laluan di kawasan semak berhampiran sawah padi dan jarak tempat kejadian dari jalan kampung berturap dan rumah berhampiran adalah kira-kira 100 meter,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, hari ini.

Abdullah berkata ketika pihaknya sedang menjalankan siasatan, seorang lelaki berusia 19 tahun telah datang ke lokasi kejadian dan mengesahkan bahawa van dan mayat yang terbakar itu adalah bapanya.

“Lelaki itu mendakwa bapanya telah keluar rumah berseorangan pada 5 petang semalam dengan memandu van jenis Toyota Liteace berwarna ungu dah tidak pulang ke rumah serta gagal dihubungi.

“Namun, lelaki itu memberitahu tiada laporan polis yang dibuat berkaitan kehilangan bapanya,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata berdasarkan maklumat lelaki yang mendakwa anak kepada mangsa, bapanya adalah seorang pesara tentera berusia 59 tahun dan mempunyai masalah kesihatan.

Menurut beliau siasatan awal di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Mayat telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini bagi tujuan bedah siasat dan pemeriksaan lanjut,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu