Social
127

Pesara tentera lemas ketika cuba selamatkan kanak-kanak

Bachok – Seorang pesara tentera ditemukan lemas awal pagi tadi, selepas dihanyutkan ombak ketika cuba menyelamatkan seorang kanak-kanak dalam kejadian di Pantai Kandis Pulau Kambing, di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bachok, Asisten Superintendan Mohd Yusrizal Mohd Ghazali, berkata Juhairohafizan Juhari, 35, yang juga mangsa kedua lemas dalam kejadian jam 5 petang semalam itu ditemukan jam 2.50 pagi

Katanya, mangsa yang beralamat di Kampung Gong Chengal, Jelawat, itu ditemukan pada jarak 50 meter dari tempat kejadian.

Beliau berkata, kanak-kanak yang cuba diselamatkan Juhairohafizan, Muhammad Aman Firas Aman Syah, 12, dari Kampung Aman, Jalan Tok Bali ditemukan selamat pada jam 11 malam pada jarak 300 meter dari lokasi kejadian oleh nelayan yang turut membantu operasi mencari dan menyelamat.

“Mangsa yang lemas dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu untuk bedah siasat, manakala mangsa yang selamat dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati pesara tentera dan seorang lagi lelaki yang ditemukan lemas semalam cuba membantu kanak-kanak berkenaan bersama seorang lagi kanak-kanak yang terselamat.

“Namun, dua mangsa yang cuba menyelamatkan dua kanak-kanak ditemui lemas,” katanya kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba, Yus Heary Mahmud berkata, operasi berkenaan ditamatkan pada jam 3.32 pagi tadi selepas kesemua mangsa ditemui.

Media semalam melaporkan seorang lelaki ditemukan lemas, manakala dua lagi masih hilang dalam kejadian di Pantai Kandis Pulau Kambing.

Mangsa lemas pertama, Mohd Bahudin Mat Shah, 46, ditemukan jam 6.50 petang. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu