Nation
620

Pesawat Israel dapat kelulusan lalu ruang udara Malaysia

Putrajaya – Pesawat dengan nombor pendaftaran milik syarikat Israel yang melalui ruang udara negara baru-baru ini disahkan mendapat kelulusan penerbangan  Malaysia.

Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan berkata, pesawat awam berkenaan disahkan melalui ruang udara negara mengikut peraturan-peraturan ditetapkan Pertubuhan Penerbangan Awam  Antarabangsa (ICAO), yang mana Malaysia adalah sebahagian daripada negara anggota.

Menurut kenyataan itu, sebagaimana peraturan-peraturan ICAO, Malaysia meluluskan mana-mana penerbangan melalui ruang udara selagi tidak mengancam

keselamatan serta kedaulatan negara.

“Kementerian Pengangkutan mengambil maklum berhubung  pesawat dengan nombor pendaftaran milik syarikat Israel yang melalui ruang udara negara berlepas dari Malé, Republik

Maldives dan menuju ke Paya Lebar, Singapura pada hari Rabu, 19 Mei lalu pada pukul 2.55 pagi.

“Ditegaskan bahawa kelulusan penerbangan yang diberikan kepada pesawat Boeing 737-400 milik syarikat Israel Aerospace Industries-Elta (IAI-Elta) ini tidak dibenarkan mendarat atau berlegar-legar di ruang udara Malaysia,” katanya hari ini.

Kementerian Pengangkutan turut memberitahu, tiada corak penerbangan yang tidak normal ketika pesawat tersebut melalui ruang udara Malaysia.

Jelasnya, pihak berkuasa penerbangan Malaysia mengesahkan bahawa pesawat tersebut tidak kembali ke ruang udara Malaysia setelah tiba di  destinasinya, Singapura.

Baru-baru ini, kewujudan pesawat prototaip pengintip bernombor pendaftaran 4X-AOO milik Israel ketika dalam penerbangan dari Tel-Aviv ke Singapura memasuki ruang udara negara dan berlegar empat jam sebelum mendarat menimbulkan kegusaran yang banyak diluahkan di media sosial.

Pesawat itu dikesan memasuki ruang udara Malaysia menerusi laman web Flight radar sebelum dilaporkan beberapa agensi berita tempatan.

Insiden itu menimbulkan keresahan selepas Israel sebelum ini melabel Malaysia sebagai negara paling tegar menyokong Palestin selepas krisis kemanusiaan di Gaza tercetus sejak pertengahan Mei. – Utusan Online

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu