Nation
130

Pesawat Malaysia Airlines dari India penerbangan kargo

Putrajaya – Kementerian Pengangkutan menegaskan penerbangan Malaysia Airlines Berhad (MAB) dari India yang memasuki Malaysia sebagaimana tular di media sosial sebenarnya hanya penerbangan kargo.

Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, semua penerbangan MAB melibatkan penerbangan pesawat penumpang juga kosong, malah ia hanya membawa muatan barangan farmasi, ubat-ubatan, telefon bimbit, komponen elektrik dan bungkusan kurier.

Katanya, pelaksanaan kaedah itu selari dengan arahan kerajaan selepas Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN), berkuat kuasa pada 28 April lalu bahawa semua penerbangan penumpang dari dan ke negara India dilarang memasuki Malaysia.

“Mengubah penerbangan penumpang kepada kargo bukanlah sesuatu yang baharu (P2C penumpang-ke-kargo), malah ia dipraktikkan MAB berbulan-bulan sebelum ini susulan pandemik Covid-19.

“Susulan tular isu terbabit, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), MAS Kargo di bawah kendalian Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan Suruhanjaya Penerbangan Awam (Mavcom) juga telah mengesahkan fakta ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ka Siong berkata, semakan dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga mengesahkan bahawa kes seorang pemegang pas pekerja asing warga India yang memasuki Malaysia adalah berlaku lebih awal iaitu pada 10 April.

Katanya, pelancong bukan Malaysia dari India tidak dibenarkan memasuki atau transit di Malaysia pada masa ini, namun pengecualian akan dibuat untuk warga Malaysia yang memasuki Malaysia dari India tanpa melalui imigresen dan kastam.

“Semua kru (juruterbang, jurutera, dan kru kabin) tetap berada di atas kapal. MAB juga melarang mana-mana kru penyelenggaraan pesawat dari India memasuki pesawat berkenaan.

“Pekerja asing yang memegang pas lawatan kerja sementara, pekerja perniagaan dan pelajar antarabangsa dari India juga akan dihalang tertakluk kepada arahan yang berkuat kuasa 28 April lalu,” katanya. – Kosmo Online

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu