KLANG — Polis mengesahkan juruterbang dan pembantu juruterbang pesawat ringan model BK 160 Gabriel dengan nombor pendaftaran I-POOC yang terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar terkorban.
Mayat kedua-dua lelaki warga tempatan berusia 30-an dan 40-an ditemui dalam kokpit pesawat yang terjunam lebih dua meter ke dalam tanah.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar berkata, pihaknya menerima maklumat pada jam 1.45 tengah hari berhubung kejadian itu.
Menurutnya, mayat dijangka dapat dibawa keluar dalam tempoh tiga jam sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.