Kuala Lumpur Post

Social

Pesilat SUKMA meninggal dunia terkena tendangan

SEREMBAN — Atlet Silat Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu, Wan Muhammad Haikal Wan Hussin meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai pertandingan di Dewan Komuniti Taman Coral Height, di sini, semalam.

Difahamkan Wan Muhammad Haikal, 21, rebah dan tidak sedarkan diri selepas terkena tendangan pihak lawan.

Dia disahkan meninggal dunia pada jam 1.20 pagi tadi ketika dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini.

Kakak sulung Allahyarham, Wan Nor Haslinda berkata, keluarga diberitahu mengenai kejadian itu pada jam 5.30 petang semalam.

“Jurulatih hubungi bapa dan maklumkan yang arwah terpaksa dikejarkan ke hospital kerana tidak sedarkan diri selepas terkena tendangan pihak lawan.

“Tapi saya tidak tahu lebih lanjut bagaimana kejadian itu berlaku dan kira-kira jam 2.30 pagi, kami dimaklumkan yang dia sudah meninggal dunia. Waktu tepatnya saya tak pasti,” katanya ketika dihubungi media hari ini.