Kuala Lumpur Post

Social

Peter Anthony didapati bersalah palsukan dokumen

KUALA LUMPUR — Mahkamah Sesyen hari ini mendapati bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony bersalah atas pertuduhan memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Azura berkata selepas mendengar dan meneliti secara maksimum hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan mahkamah memutuskan pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Peter.

Mengikut pertuduhan, Peter, 51, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat untuk menipu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda.

Azura berkata keterangan yang dikemukakan sepanjang perbicaraan menyatakan bahawa syarikat Peter iaitu Syarikat Asli Jati Sdn Bhd telah menjalankan kerja-kerja penyelenggaran fasa pertama di UMS dan perkara tersebut tidak dinafikan pihak pembelaan.

“Terdapat keterangan mencukupi bahawa tertuduh telah menipu saksi pendakwaan ketiga, kelapan dan kesembilan dengan mengaburi pemikiran mereka mengenai ‘smart partnership’ antara anak syarikat milik penuh UMS, Ulink Property Sdn Bhd dan syarikat milik Peter, Asli Jati,” kata hakim itu.

Tiga saksi berkenaan ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UMS Profesor Dr Shariff Abdul Kadir S. Omang, bekas pengerusi Ulink Property Sdn Bhd Datuk Abdullah Mohd Said dan rakan Peter, Mohd Shukur Mohd Din.

Mahkamah kini sedang mendengar hujahan mitigasi pendakwaan dan pembelaan berhubung keputusan itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bersama Haresh Prakash Somiah dan Francine Cheryl Rajendram manakala peguam S. Devanandan bersama Datuk D.Senthinathan mewakili Peter, lapor Bernama.

Tags: , ,