Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Politics

Peter Anthony umum keluar Parti Warisan Sabah

Kota Kinabalu – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap Datuk Peter Anthony hari ini mengumumkan keputusan beliau untuk keluar daripada menganggotai Parti Warisan Sabah (Warisan).

Peter, 50, yang juga merupakan naib presiden parti itu turut mengumumkan hasratnya menubuhkan sebuah parti baharu yang akan berkerjasama dengan Kerajaan Sabah di bawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Beliau berkata tindakannya itu adalah demi memperjuangkan hak serta nasib rakyat Sabah, selepas beliau melihat parti Warisan telah jauh tersasar dalam perjuangan itu apabila ia melebarkan sayapnya ke Semenanjung.

“Sudah tiba masanya bagi kita pemimpin di Sabah untuk lupakan persengketaan politik bagi sama-sama bangunkan negeri tercinta ini‚Ķpembangunan di Sabah ini (terkesan) sedikit sebanyak oleh perbalahan politik, jadi saya merasakan perlu ke arah kesatuan gabungan pemimpin di negeri ini bagi sama-sama bangunkan Sabah.

“Rakyat Sabah ini perlukan satu parti yang betul-betul memperjuangkan hak orang Sabah, itu yang paling penting bagi kita, tiada guna untuk kita sekiranya satu parti yang ditubuhkan itu ke luar (Sabah),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu ADUN Limbahau Juil Nuatim juga daripada Warisan.

Dengan perkembangan terbaharu Warisan kini hanya memiliki 18 kerusi di DUN Sabah, apabila sebelum ini tiga ADUN yang terdiri daripada Hassan A Gani Pg Amir (Sebatik), Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin) dan Datuk Mohammadin Ketapi (Segama) juga Ahli Parlimen Lahad Datu, bertindak keluar parti, manakala Datin Manis Muka Mohd Darah (Bugaya) meninggal dunia tahun lepas.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 tahun lepas, Peter memenangi kerusi DUN Melalap atas tiket Warisan dengan majoriti 1,719 undi dalam saingan enam penjuru.

Peter berkata PRN Sarawak Ke-12 lepas yang menyaksikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang besar, boleh dijadikan contoh terbaik dengan melihat rakyat Sarawak sendiri memilih pemimpin tempatan bagi bersama memajukan negeri.

“Biarlah Sarawak dipimpin pemimpin Sarawak, Kuala Lumpur pemimpin Kuala Lumpur, Negeri Sembilan pemimpin Negeri Sembilan, Pulau Pinang pemimpin Pulau Pinang, dan kita pemimpin di Sabah sama-sama fokus bangunkan Sabah,” katanya.

Peter juga menolak dakwaan kononnya tindakannya keluar parti hari ini adalah disebabkan kes mahkamah berkaitan dokumen palsu yang sedang dihadapinya kini, sebaliknya beliau menegaskan tindakannya itu adalah kerana suara dari akar umbi rakyat negeri ini.

“Mereka mahu platform parti tempatan yang betul-betul perjuangkan rakyat Sabah…parti (baharu) ini akan saya umumkan dalam masa terdekat dan kalau ada berminat (menyertai) kita beri peluang sama-sama kita,” katanya.

Ditanya adakah beliau telah berbincang mengenai tindakan itu bersama Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Peter hanya menjawab: “I think it should be OK,” dan memberitahu beliau akan menghantar surat berkaitan kepada pihak yang terlibat.

Peter berkata beliau bersedia dengan sebarang tindakan daripada Warisan, termasuk melibatkan tindakan undang-undang, dan beliau menyerahkan sepenuhnya kepada sistem perundangan negara untuk menentukan kedudukannya selepas ini.

“Sekiranya pihak mahkamah memutuskan saya perlu mengosongkan kerusi DUN Melalap saya bersedia, terserah kepada undang-undang, kita akan patuh,” katanya.

Pada 14 Dis lepas, Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur memerintahkan Peter juga bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah membela diri atas pertuduhan memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di universiti itu pada 2014.

Mahkamah menetapkan 3 hingga 7 Jan 2022 untuk beliau membela diri, lapor Bernama.

Tags: , , ,