Nation
67

Petugas kesihatan yang divaksinasi alami gejala kurang teruk

Kuala Lumpur – Semua petugas kesihatan yang dijangkiti COVID-19 selepas menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, mengalami gejala yang tidak teruk, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

“Memang jelas kita masih boleh dijangkiti selepas lengkapkan vaksinasi. Namun, jangkitan itu tidaklah teruk sangat,” katanya dalam hantaran Facebook beliau, hari ini.

Katanya, walaupun vaksin membawa sedikit harapan dalam perjuangan melawan penyakit itu, orang ramai perlu ingat itu tidak bermakna mereka boleh mengabaikan langkah-langkah kesihatan awam, selepas vaksinasi mereka lengkap.

Dr Noor Hisham berkata, tidak ada sesiapapun yang terjamin selamat sehingga semua orang selamat dan meminta orang ramai, agar terus mematuhi semua langkah pencegahan.

Beliau berkata, 40 petugas kesihatan dijangkiti COVID-19 selepas melengkapkan dos vaksinasi mereka, dengan sembilan orang dilaporkan dijangkiti selepas lebih dua minggu menerima dos kedua, sementara 31 lagi dijangkiti dalam tempoh kurang daripada dua minggu, selepas inokulasi.

Dr Noor Hisham berkata, seramai 142 petugas kesihatan dijangkiti selepas menerima dos pertama, manakala 244 orang pula dijangkiti sebelum menerima vaksin berkenaan. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu