Nation
506

PH gesa Muhyiddin undur diri jika enggan buka Parlimen

Petaling Jaya – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) digesa berhenti mengetepikan sistem demokrasi negara dan mengambil serius pandangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu Parlimen kembali bersidang secepat mungkin.

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan bersama hari ini memalumkan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin harus turun daripada jawatanya jika terus berdalih daripada menasihati Agong.

“Sekiranya Perdana Menteri terus berlengah atau memberi alasan untuk melewatkan sidang Parlimen, ia bukan sahaja bermaksud beliau telah mengetepikan pandangan Tuanku itu, malah ia memberi gambaran bahawa Perdana Menteri telah hilang keyakinan untuk terus mentadbir.

“Jika Perdana Menteri tetap bertegas enggan menasihati Tuanku segera, beliau harus mengambil tindakan terhormat dengan mengundurkan diri,” katanya.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim;  Presiden Parti AmanahNegara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Terdahulu, Agong menzahirkan pandangan sesi Persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan ahli Dewan Rakyat.

Titah Seri Paduka, kerajaan yang stabil dan kukuh perlu ada supaya dapat berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Dalam kenyataan bersama itu, Majlis Presiden turut menjunjung kasih atas titah Yang diPertuan Agong bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

“Adalah teramat jelas bahawa Perdana Menteri perlu menjunjung titah dan menasihati Tuanku untuk memanggil sidang Parlimen secepat mungkin.

“Amatlah penting Parlimen dibuka semula sekarang agar semak imbang tata kelola dan perjalanan pentadbiran Putrajaya dapat dilakukan, Ordinan-Ordinan Darurat serta Pelan Pemulihan Negara dapat dibahas, peruntukan perbelanjaan kerajaan bagi membantu rakyat dapat dibincang dan suara rintihan isi hati rakyat dapat didengar dengan jelas,” katanya. — Utusan Online

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu