Politics
208

PH terbuka untuk bekerjasama di bawah konsep ‘Khemah Besar’

Kuala Lumpur – Pakatan Harapan (PH) mengambil pendirian terbuka untuk berunding dan bekerjasama di bawah konsep ‘Khemah Besar’ berdasarkan Agenda Reformasi dan kepentingan rakyat.

Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan bersama hari ini menyatakan pendirian itu selepas mengadakan mesyuarat hari ini yang membincangkan isu politik dan keadaan semasa tanah air.

Menurut kenyataan itu, usaha menggembleng tenaga menerusi kaedah ‘Khemah Besar’ dalam kalangan ahli pembangkang mesti diberikan keutamaan mengatasi permainan dan percaturan politik kuasa yang hanya akan merugikan negara.

“PH juga akan meneruskan tugas di Parlimen sebagai pembangkang yang memberikan kritikan, teguran, syor dan pandangan yang membina dan bertanggungjawab, sesuai dengan titah nasihat Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) demi memastikan proses semak imbang ke atas kuasa Eksekutif terus dilaksana,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu adalah daripada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Dalam pada itu, Majlis Presiden PH menjunjung kasih atas titah perkenan Yang di-Pertuan Agong melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Menurut kenyataan itu, Majlis Presiden PH turut mengulangi komitmen bahawa PH akan diperkukuh di bawah kepimpinan Anwar, dengan segala persiapan menuju Pilihan Raya Umum ke-15 akan dipergiat termasuk perbincangan kerusi, manifesto, barisan kepimpinan dan calon serta strategi untuk memenangi mandat rakyat, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu