Kuala Lumpur Post

Social

Phone scam : Warga emas kerugian lebih RM1.4 juta

IPOH — Seorang wanita warga emas menjadi mangsa terbaharu ‘phone scam’ di Perak apabila kerugian sebanyak RM1.4 juta selepas terpedaya dengan taktik penyamaran sebagai pekerja syarikat kurier dan pegawai polis sejak tiga tahun lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 62 tahun yang berasal dari Taman Wah Keong di sini semalam.

“Pada 27 Mac 2020, pengadu menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali memperkenalkan diri sebagai pekerja syarikat kurier dan menipu bahawa pengadu mempunyai bungkusan yang bermasalah.

“Pengadu kemudian membuat pengesahan kepada nombor telefon palsu ‘Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah’ yang diberikan oleh ‘pekerja syarikat kurier’ dan dimaklumkan oleh seorang ‘pegawai polis’ kononnya pengadu terlibat dalam kes jenayah penggubahan wang haram dan dadah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pengadu ditunjukkan dokumen waran tangkap mahkamah atas namanya daripada suspek sehingga dia mempercayai percakapan suspek dan sepanjang urusan itu, mangsa telah berkomunikasi dengan lima orang yang menyamar sebagai pegawai polis dengan perwatakan berlainan.

Mohd Yusri berkata pengadu telah mendedahkan semua maklumat sulit tentang akaun bank dan akaun dompet digital kepada kesemua suspek serta mengikut arahan membuat pemindahan wang kepada pelbagai akaun bank milik individu lain.

“Pengadu hanya sedar tentang penipuan suspek setelah menunggu sekian lama seorang suspek yang kononnya akan datang berjumpa dengannya di Ipoh sejak 2020 lagi,” katanya.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan orang ramai diingatkan sentiasa berwaspada terhadap panggilan telefon yang mencurigakan khususnya yang mendakwa daripada agensi kerajaan.

Tags: , ,