Nation
139

PICK Remaja : Tindakan undang-undang dikenakan terhadap penyebar video, berita tidak benar

Bagan Serai – Tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang menularkan video dan berita tidak benar mengenai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja melibatkan pelajar sekolah di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata perbuatan tersebut bukan sahaja akan menganggu kelancaran program, malah akan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa serta pelajar yang akan mengambil vaksin.

“Saya memberi amaran tegas kepada sesiapa (penyebar video dan berita tidak benar) kerana perkara itu (berita tidak benar) tidak baik ditularkan sedangkan kita mahu menyelamatkan pelajar dan kesihatan mereka serta tidak mahu program vaksin membabitkan pelajar terganggu.

“Saya ingatkan semua orang, jangan memandai-mandai hantar video yang tidak benar kerana ia menjadikan orang takut, risau dan bimbang kerana macam-macam kes tidak benar dilaporkan. Saya kesal dan sangat marah dengan perkara yang tidak benar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke rumah mangsa banjir dan menziarahi tiga anak yatim piatu Mohd Omar Mikail, 7, Mohd Zaiful Iman Zulkifli, 11, dan Amar Nordiana, 16, yang kematian kedua-dua ibu bapa mereka akibat COVID-19, di Kampung Tanjung Bugis dekat sini semalam.

Noor Azmi mengulas video yang tular mengenai beberapa kejadian pelajar sekolah termasuk dakwaan seorang pelajar meninggal dunia di Ipoh selepas suntikan vaksin, baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai berkata pihaknya mendapati tiada kematian membabitkan pelajar yang menerima suntikan vaksin setakat ini.

Justeru beliau meminta ibu bapa agar memantau keadaan anak-anak mereka yang sudah menerima suntikan vaksin dan segera membawa anak-anak mendapatkan rawatan di hospital serta melaporkan di aplikasi MySejahtera sekiranya mengalami sakit dada, sesak nafas atau jantung berdegup laju.

Menurutnya setakat ini, Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) juga tidak melaporkan mengenai kesan sampingan pengambilan vaksin terhadap remaja.

“Saya akan pantau setiap hari jika ada laporan, kita akan secara terus dan telus memaklumkan untuk pengetahuan rakyat,” katanya.

Tags: , , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu