Kuala Lumpur Post

Nation

Pimpinan Anwar bawa perubahan kepada MITRA : Penganalisis politik

KUALA LUMPUR — Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) kini telah mengalami perubahan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas bertahun-tahun berdepan dengan imej negatif susulan dakwaan penyalahgunaan pengurusan dana.

Penganalisis politik Datuk Anbumani Balan berkata perubahan itu tercapai dengan kesungguhan dan komitmen Anwar yang mengarahkan supaya Jawatankuasa Pasukan Khas MITRA ditubuhkan bagi memperbaiki persepsi orang ramai terhadap unit itu yang bertanggungjawab dalam mengenal pasti isu dan cabaran semasa masyarakat India di Malaysia, selain melaksanakan inisiatif untuk pembangunan sosioekonomi mereka.

“Diketuai Datuk R. Ramanan selaku pengerusi jawatankuasa, kita nampak beliau sedang menjalankan tugasnya dengan cukup baik, banyak imej-imej negatif terhadap unit itu dapat ‘dibersihkan’ dalam tempoh antara empat dan lima bulan ini.

“Malah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah membuat penarafan semula risiko rasuah untuk tahun 2023 pada tahap yang rendah kepada unit tersebut dan ini cukup penting, sekali gus menolak pandangan pihak tertentu kononnya Perdana Menteri kurang memberi tumpuan terhadap pembangunan sosioekonomi kaum India,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam Program Buletin Bernama : Setahun Pimpinan PMX, terbitan Bernama TV malam ini.

Anbumani berkata pentadbiran Anwar yang baru memasuki setahun tidak boleh terlalu awal untuk diadili dan beliau perlu diberikan ruang yang secukupnya bagi membuktikan keupayaan dalam melaksanakan segala perancangan termasuk membuat keputusan baharu untuk masyarakat India.

“Kita ada masa empat tahun lagi, ini masa yang cukup baik untuk beliau mengkaji apakah segala kelemahan yang ada dan bagaimana ia dapat diselesaikan secara baik supaya untuk tahun depan, beliau boleh membentuk satu pasukan yang lebih baik dan efisien untuk rakyat Malaysia.

“Pada masa sama, anggota Kabinet juga perlu menunjukkan kebersamaan dengan beliau dengan memainkan peranan masing-masing. Janganlah kita membuat andaian macam-macam, itu tidak adil. Apa-apa sekali pun, beliau sudah diberikan mandat untuk memimpin Malaysia dan sewajarnya kita berikan peluang untuk beliau membuktikan kemampuannya,” katanya.

Anwar mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri pada 24 Nov 2022, lima hari selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebelum mengumumkan pelantikan dua Timbalan Perdana Menteri serta 28 ahli Jemaah Menteri dalam Kerajaan Perpaduan pada 2 Dis 2022.

Pada 19 Jan, Anwar memperkenalkan Malaysia MADANI sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia.  MADANI itu diacu berteraskan enam rukun iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

Tags: , , ,