Nation
151

Pindaan Akta 342 antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Kuala Lumpur – Pindaan terhadap Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) akan menjadi tumpuan pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Kedua Penggal Keempat, Parlimen ke-14 hari ini.

Pindaan itu mendapat tentangan sebilangan Ahli Parlimen dengan alasan denda dan kompaun yang dikenakan mengikut Rang Undang-Undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 itu adalah keterlaluan.

Rang undang-undang itu dibentang bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Selasa lepas antaranya bagi menaikkan kadar maksimum kompaun terhadap individu dan pertubuhan perbadanan yang melakukan kesalahan di bawah rang undang-undang berkenaan.

Mengikut rang undang-undang itu, individu yang melakukan kesalahan boleh dikompaun sehingga RM10,000 berbanding RM1,000 ketika ini, manakala kompaun sehingga maksimum RM1 juta bagi pertubuhan perbadanan.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilapor berkata pindaan berkenaan akan bertindak sebagai ‘senjata’ tambahan dalam menghadapi pandemik COVID-19.

Sementara itu, isu perkahwinan bawah umur juga dijangka dibincangkan pada persidangan.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, perkara itu dibangkitkan P. Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) yang ingin tahu usaha kerajaan untuk meningkatkan umur perkahwinan kepada 18 tahun dan langkah-langkah lain bagi membanteras perkahwinan bawah umur pada sesi Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri.

Turut menarik perhatian, soalan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) kepada Perdana Menteri mengenai kesediaan kerajaan membuka semula pintu sempadan negara dan unjuran pemulihan ekonomi pada tahun hadapan pada sesi soal jawab lisan.

Sidang Dewan Rakyat berlangsung selama 32 hari bermula 25 Okt lepas, lapor Bernama.

Tags: ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu