Nation
2K

Pinjaman terbit filem dari keluarga diraja Arab Saudi bukan dana 1MDB : Riza

Kuala Lumpur – Penerbit filem Hollywood Riza Shahriz Abdul Aziz dan dua syarikat miliknya mendakwa memperoleh pinjaman daripada keluarga diraja Arab Saudi atau International Petroleum Investment Company (IPIC ) untuk menerbitkan beberapa filem di Amerika Syarikat, bukan daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

IPIC merupakan syarikat yang ditubuhkan di Abu Dhabi yang pada ketika itu Pengarah Urusannya adalah Khadem Abdullah Al-Qubaisi, yang merupakan bekas pembantu Sheikh Mansour Zayed Al Nahyan iaitu Timbalan Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu dan juga ahli keluarga diraja.

Perkara itu dinyatakan dalam pernyataan pembelaan yang difailkan Riza Shahriz, Red Granite Pictures Incorporated dan Red Granite Capital Limited selaku defendan menerusi Tetuan Scivetti & Associates pada 25 Okt lalu.

Berdasarkan pernyataan pembelaan, Riza Shahriz mendakwa sukar bagi penerbit filem yang tidak dikenali untuk memperoleh pinjaman daripada bank, oleh sebab itu beliau memutuskan untuk mendapatkan pinjaman daripada individu atau syarikat.

Riza Shahriz mendakwa beliau telah diperkenalkan kepada Prince Saud Abdulaziz bin Majed bin Abdulaziz Al Saud (Prince Saud) dan Prince Faisal bin Turki bin Abdullah bin Abdulaziz Al Saud (Prince Faisal) dari keluarga diraja Arab Saudi yang menunjukkan minat untuk memberi pinjaman wang kepadanya bagi penerbitan filem oleh Red Granite Pictures Incorporated.

“Saya telah dimaklumkan bahawa wakil keluarga diraja Arab Saudi bersetuju untuk memberi pinjaman itu.

“Pinjaman tersebut akan dibayar oleh sebuah syarikat yang dikenali sebagai Alsen Chance Holdings Limited iaitu sebuah syarikat yang dimiliki secara benefisial oleh keluarga diraja Arab Saudi. Sehubungan itu, saya menandatangani Perjanjian Pinjaman dengan Alsen Chance,” menurutnya.

Riza Shahriz mendakwa selepas menandatangani perjanjian itu, beliau menerima wang berjumlah US$1,173,104 dan US$9,000,000 dan wang tersebut digunakan untuk membiayai dua syarikat itu termasuk penubuhan serta pengurusan syarikat produksi, pembelian hak skrip, buku dan penerbitan filem-filem.

Dakwa anak tiri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu, beliau telah menunaikan kewajipannya di bawah Perjanjian Pinjaman Alsen Chance pada 31 Okt 2021 untuk melunaskan hutang kepada Alsen Chance sepenuhnya bersama dengan faedah.

“Pada masa itu Alsen Chance tidak mempunyai hubungan atau kaitan dengan plaintif-plaintif (1MDB, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited) dan tiada sebab untuk plaintif-plaintif mensyaki sumber dana tersebut,” dakwa Riza Shahriz.

Mengenai pemindahan sebanyak US$238 juta kepada Red Granite Capital, Riza Shahriz mendakwa wang itu telah digunakan untuk membiayai perniagaan kedua-dua syarikat tersebut termasuk kos operasi syarikat produksi, pembelian hak skrip, buku dan penerbitan filem-filem.

Sementara itu, peguam Datuk Hariharan Tara Singh yang mewakili kesemua defendan ketika dihubungi pemberita berkata pada pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syeela Marlina Uttaman secara dalam talian hari ini, mahkamah menetapkan 6 Dis untuk pengurusan kes selanjutnya.

Beliau memaklumkan bahawa kesemua defendan telah memfailkan pernyataan pembelaan.

1MDB dan tiga subsidiarinya 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited sebagai plaintif, memfailkan writ saman pada 7 Mei menamakan Riza Shahriz dan dua syarikatnya, Red Granite Pictures Incorporated dan Red Granite Capital Limited, sebagai defendan pertama hingga ketiga dan firma guaman yang berpangkalan di New York, Shearman and Sterling sebagai defendan keempat.

Dalam writ saman itu, syarikat berkenaan mendakwa pada 2011 dan 2012, Riza Shahriz serta dua syarikatnya menerima dana kira-kira US$250 juta daripada 1MDB dan tiga subsidiarinya, yang didakwa disalah guna apabila defendan menggunakan dana tersebut untuk kepentingan peribadi dan untuk kepentingan rakan sekutu mereka, termasuk bagi membiayai penerbitan filem dan pembelian pelbagai harta tanah.

Syarikat-syarikat tersebut mendakwa Riza Shahriz, yang mengendalikan dua syarikat Red Granite, semestinya mengetahui bahawa wang yang berpunca daripada 1MDB disalahgunakan untuk kepentingan mereka.

Oleh itu, plantif memohon perisytiharan bahawa Riza Shahriz bertanggungjawab atas salah guna dana itu dan penggunaan dana yang tidak adil serta memohon pembayaran balik dana yang disalahgunakan itu, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu