Nation
154

PKP di Kluang, Johor

Kuala Lumpur – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan di daerah Kluang, Johor bermula Selasa ini hingga 24 Mei susulan peningkatan kes COVID-19 di daerah itu, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan sebanyak 512 kes positif dicatatkan daripada keseluruhan 3,867 ujian saringan dilakukan sejak 4 Mei lepas.

“Selain itu, KKM juga melaporkan terdapat empat kluster aktif di daerah ini selain kadar positif pula adalah 13 peratus manakala kadar insiden semakin meningkat di beberapa perkampungan dan taman perumahan.

“Dengan adanya pelaksanaan PKP di daerah ini, pergerakan rentas negeri dan daerah adalah tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan berkenaan perkembangan PKP hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata pelaksanaan PKP itu antara lain bagi menyekat pergerakan orang awam terutamanya di musim perayaan dan cuti sekolah berikutan kluster tertinggi yang dilaporkan setakat ini adalah daripada komuniti.

“Pada masa sama, ia bertujuan mengekang penularan jangkitan COVID-19 dalam komuniti dan mengelakkan penularan kes disebabkan aktiviti berkumpul dan majlis sosial,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan bahawa kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKP Diperketatkan (PKPD) di Kampung Keramat di Semporna, Sabah bermula 11 Mei hingga 24 Mei.

“Sehingga kini, KKM telah merekodkan 10 kes positif COVID-19 daripada 101 ujian saringan yang dilakukan ke atas penduduk di lokaliti tersebut. Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM membuat pengesanan awal kes serta menyekat penularan jangkitan kes COVID 19 dari kawasan berisiko ke kawasan lain di luar lokaliti tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata pesakit yang mempunyai janji temu doktor dan rawatan berjadual hanya perlu mengemukakan kad janji temu dan tidak memerlukan surat kebenaran polis untuk merentas daerah atau negeri.

“Kerajaan telah menerima rungutan daripada orang ramai mengenai perlunya mendapat surat kebenaran polis bagi urusan mendapatkan rawatan atau jani temu di hospital atau klinik. Ini telah menyukarkan mereka terutama pesakit yang memerlukan rawatan berjadual seperti kanser dan buah pinggang,” katanya.

Berkenaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), Ismail Sabri berkata 493 individu ditahan kerana ingkar SOP semalam dengan 480 dikompaun manakala 13 direman.

Antara kesalahan yang dilakukan ialah gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis (214 kes), tidak memakai pelitup muka (84 kes), aktiviti pusat hiburan (16), tiada penjarakan fizikal (52) dan lain-lain 127 kes.

Pada masa sama, 47 pendatang tanpa izin ditahan serta lima kenderaan darat dirampas dalam Op Benteng, katanya. – Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu