Nation
92

PKP di Tawau bermula esok

Kuala Lumpur – Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Tawau, Sabah bermula esok hingga 16 April ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, pelaksanaan PKP itu dilakukan setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP serta atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

“Sehingga kini, secara kumulatif sebanyak 137 kes aktif telah dilaporkan melibatkan beberapa kluster di daerah ini dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi,” katanya dalam kenyataan mengenai PKP hari ini.

Ismail Sabri berkata pelaksanaan PKP di daerah itu bagi memudahkan KKM melaksanakan saringan bersasar di lokaliti kes positif serta mengawal pergerakan penduduk dan mengekang penularan jangkitan dalam komuniti.

Sementara itu, tiga lokasi dikenakan PKP Diperketatkan (PKPD) iaitu di Perumahan Kilang Sungai Tenegang, Kinabatangan, Sabah; Kampung Baji, Sarikei, Sarawak; dan Sungai Rassau, Batang Igan, Daerah Matu, Bahagian Mukah, Sarawak bermula esok hingga 16 April.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata 100 individu ditahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) semalam dengan 91 dikompaun dan sembilan lagi direman melibatkan kesalahan tiada penjarakan fizikal (89) serta rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (10).

Bagi kawalan sempadan negara pula, sebanyak 60 pendatang tanpa izin ditangkap dalam Operasi Benteng semalam, selain 10 bot atau kapal dan sebuah kenderaan darat dirampas.

Ismail Sabri turut memaklumkan sebanyak 1,992 warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 semalam dan 20 orang didapati positif.

Secara kumulatif, beliau berkata sebanyak 669,888 pekerja asing menjalani ujian saringan yang melibatkan 34,742 majikan. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu