Nation
176

PKP : Pengangkutan awam dibenar beroperasi

Putrajaya  – Semua perkhidmatan pengangkutan awam termasuk teksi dan e-hailing dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) yang dilanjutkan sehingga 28 Jun ini dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata, setiap kenderaan penumpang pengangkutan awam teksi dan e-hailing dihadkan kepada dua orang iaitu seorang pemandu dan seorang penumpang, termasuk kenderaan bersaiz lebih besar seperti pacuan empat roda (4WD) dan van.

“Pengguna pengangkutan awam perlu mendapatkan kebenaran rentas negeri atau rentas daerah daripada polis sekiranya menggunakan mana-mana mod pengangkutan awam bagi perjalanan yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wee berkata, pemandu teksi perlu mendapatkan surat kebenaran beroperasi daripada Sistem Maklumat Industri Logistik (SMILE) di https://application.mot.gov.my. manakala pemandu e-hailing pula boleh mendapatkan salinan surat kebenaran Kementerian Pengangkutan (MOT) yang diberikan kepada syarikat operasi e-hailing masing-masing.

Beliau berkata, surat berkenaan dan Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang dikeluarkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) diperlukan sebagai bukti kebenaran beroperasi di sekatan jalan raya (SJR).

Katanya, kesemua pemain industri yang mendapat kelulusan di bawah SMILE sebelum 1 Jun lepas boleh memuat turun semula surat pengesahan beroperasi dalam laman sesawang sama tanpa perlu mendaftar semula.

SPP di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang sepatutnya berakhir 14 Jun ini disambung untuk tempoh dua minggu lagi, berkuat kuasa 15 Jun hingga 28 Jun ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira jumlah kes harian yang masih tinggi iaitu melebihi 5,000 kes sehari. — Bernama

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu