Nation
201

PKP penuh di 8 lokaliti di Labuan mulai 15 Jun

Labuan – Beberapa bahagian di pulau bebas cukai Labuan akan melaksanakan sekatan pergerakan penuh bagi semua sektor sosial dan ekonomi bermula Selasa (15 Jun) hingga 28 Jun, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Labuan Rithuan Ismail.

Beliau berkata sekatan pergerakan penuh selama 14 hari itu hanya melibatkan lapan lokaliti iaitu pusat bandar, Kampung Sungai Keling, Kampung Bukit Kalam, kampung air di Kg Patau-Patau, Taman Perumahan Mutiara Sg. Bedaun, Kampung Layang-Layangan, Kampung Durian Tunjong dan Kampung Tanjung Aru.

Rithuan berkata sekatan pergerakan penuh itu diluluskan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Labuan dalam mesyuarat hari ini berikutan peningkatan kes COVID-19 sejak tiga minggu yang lepas dan bakul makanan akan diedarkan kepada penduduk di kawasan yang terlibat minggu depan.

Jawatankuasa yang anggotanya terdiri daripada pegawai Perbadanan Labuan (LC), kontinjen polis Labuan, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan mengadakan mesyuarat semalam dan membentangkan perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan (berhubung sekatan itu) kepada Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa mengenai lokaliti yang terlibat.

Beliau berkata jawatankuasa itu berharap tempoh tiga hari (12 -15 Jun) mencukupi bagi penduduk di lapan lokaliti itu untuk menampung barangan keperluan mereka.

“Penduduk di lapan kawasan itu dilarang meninggalkan rumah mereka kecuali jika ada hal kecemasan,” kata Rithuan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata petugas kesihatan akan terus menjalankan tugas dengan sewajarnya bagi membendung penularan pandemik itu dalam komuniti setempat.

Labuan telah merekodkan tiga digit kes positif sejak tiga minggu lepas dengan mencatatkan kematian baharu setiap hari dalam tujuh hari terakhir.

Labuan, pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa Malaysia serta hab minyak dan gas mencatatkan 176 kes baharu dengan lapan kematian semalam, menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 5,634 dan kematian seramai 61 orang.

Terdapat empat kluster aktif di pulau ini iaitu Victoria Merdeka, Simpang Sahari, Simpang Sungai dan Patau-Patau. — Bernama

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu