Nation
202

PKP perlu dilaksana meskipun tidak popular : PM

Kuala Lumpur – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu dibuat meskipun bukan langkah popular dan mungkin tidak memuaskan hati rakyat.

Beliau berkata jika tiada tindakan tegas dan drastik diambil, negara boleh terjerumus ke dalam suatu malapetaka kesihatan dan krisis nasional yang parah.

Menurutnya, PKP perlu dilakukan sebagai ikhtiar untuk menyelamatkan kehidupan dan masa depan rakyat.

“Saya tahu, ini bukanlah satu keputusan yang popular. Ada yang marah kepada saya, kenapa ambil tindakan begini ketika umat Islam akan menyambut 1 Syawal esok. Sudahlah tak boleh balik kampung, nak ziarah keluarga dan sahabat handai pun tak boleh. Zalim sangatkah kerajaan ini?

“Saya bukan zalim. Saya ambil keputusan ini adalah untuk lindungi nyawa saudara-saudari. Kalau saya benarkan ziarah dari rumah ke rumah, manalah tahu ada tetamu yang datang ke rumah saudara-saudari itu positif COVID-19,” katanya dalam rakaman perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri malam ini yang disiarkan di stesen televisyen tempatan.

Memberikan contoh, Muhyiddin berkata sekiranya aktiviti ziarah rumah ke rumah dibenarkan, dikhuatiri ramai akan dijangkiti kerana kebanyakan pesakit COVID-19 tidak menunjukkan apa-apa simptom.

Aktiviti itu berkemungkinan menyebabkan kes positif COVID-19 di negara ini melonjak ke puluhan ribu sehari sebaik sahaja Aidilfitri diraikan.

Menjelas lanjut, Perdana Menteri berkata negara kini berada pada satu titik genting yang memerlukan respons segera kerajaan.

“Kita kuatkuasakan semula larangan rentas daerah dan rentas negeri di samping larangan terhadap aktiviti sosial, pendidikan dan sukan kecuali sukan individu di kawasan terbuka. Ziarah hari raya juga tidak dibenarkan. Solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau dibenarkan tetapi dengan jumlah kehadiran jemaah yang terhad,” katanya.

Namun berbanding tahun lepas, beliau berkata lebih ramai dalam kalangan umat Islam dapat menunaikan solat Tarawih di masjid dan surau secara berjemaah pada tahun ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Sementara itu, Muhyiddin berkata walaupun PKP dilaksanakan, kerajaan tidak menutup sektor ekonomi dan industri serta perniagaan boleh terus beroperasi dengan mematuhi SOP yang ketat.

Berdasarkan pengalaman lepas, beliau berkata negara kehilangan hampir RM2.4 bilion sehari dan kadar pengangguran meningkat jika sektor ekonomi ditutup dan ia akan merugikan negara dan menyusahkan rakyat.

“Oleh itu, pada kali ini kerajaan tidak menutup sektor ekonomi, namun pemantauan akan dibuat dengan lebih ketat ke atas premis-premis perniagaan, kilang-kilang dan asrama tempat tinggal pekerja untuk mengelakkan jangkitan berlaku dalam sektor-sektor berkaitan,” katanya.

Justeru, Perdana Menteri menyeru majikan dan pekerja supaya sentiasa mematuhi SOP di tempat kerja dan melaksanakan dasar bekerja dari rumah untuk mengurangkan kesesakan di tempat kerja.

Dalam perutusannya, Muhyiddin turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada para petugas barisan hadapan atas khidmat bakti, penat lelah serta pengorbanan anda siang dan malam bertugas untuk memastikan kesejahteraan dan keselamatan semua. – Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu