Nation
334
0

PKPB di seluruh negara kecuali 4 negeri

Kuala Lumpur – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di seluruh negeri di Semenanjung kecuali Pahang, Perlis Kelantan dan Sarawak berkuatkuasa selama empat minggu bermula 9 Nov hingga 6 Dis depan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penguatkuasaan PKPB itu, dilaksanakan selepas Sidang Khas Majlis Keselamatan mendengar pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung peningkatan kes positif COVID-19, di beberapa negeri di Semenanjung.

“Pelaksanaan PKPB ini bagi membolehkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar dan mengurangkan pergerakan dalam kalangan komuniti, di samping untuk mengekang penularan COVID-19 di negeri-negeri ini,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, hari ini.

Susulan daripada langkah itu, Ismail Sabri berkata PKPB di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah, yang sepatutnya tamat pada 9 Nov ini juga akan bersambung serentak dengan penguatkuasaan PKPB di tujuh negeri lain di Semenanjung.

Beliau berkata, SOP bagi PKPB berkenaan adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini antaranya pergerakan merentas daerah, negeri tidak dibenarkan kecuali kes-kes kecemasan dan perlu mendapat kebenaran daripada polis. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu