Nation
290

PKPD : 69 penduduk Pulau Gaya diburu

Kota Kinabalu – Seramai 69 penduduk Kampung Pondo, Pulau Gaya, dekat sini, diburu selepas melarikan diri bagi mengelak berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

Masidi yang juga jurucakap kerajaan Sabah berkaitan COVID-19 berkata usaha mengesan kesemua individu terbabit kini sedang giat dilakukan anggota Balai Polis Pulau Gaya.

“Penduduk terbabit dipercayai melarikan diri ketika pergi ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC).

“Justeru, kerajaan Sabah menggesa kepada penduduk yang melarikan diri dari kawasan PKPD di Kampung Pondo, Pulau Gaya, supaya kembali ke kampung itu dengan segera bagi memastikan tidak berlaku jangkitan kepada komuniti lain,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata kegagalan penduduk terbabit berbuat demikian boleh menyebabkan mereka diambil tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) (No.4) (Pindaan) (No.16) 2021.

Masidi berkata orang ramai diminta memaklumkan kepada balai polis terdekat sekiranya mempunyai maklumat mengenai keberadaan penduduk terbabit.

Kampung Pondo, Pulau Gaya, merupakan antara lokaliti di Sabah dikenakan PKPD bermula 30 Jun hingga 13 Julai berikutan penularan kes jangkitan COVID-19 yang dikesan tinggi di kawasan tersebut.

Susulan itu, kerajaan Sabah hari ini bersetuju untuk memperluaskan pelaksanaan PKPD ke seluruh perkampungan di Pulau Gaya berkuat kuasa 8 Julai ini.

Mengulas perkembangan COVID-19 di Sabah, Masidi berkata sebanyak 225 kes baharu direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif 70,945 kes, dengan satu kluster baharu dilaporkan di Kota Kinabalu iaitu Kluster Agora Borneo dan satu kes kematian di Tawau.

Seramai 199 pesakit sembuh dan dibenarkan keluar hospital hari ini menjadikan jumlah kumulatif 68,308 orang pulih, manakala 1,672 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 392 orang di hospital, PKRC Awam 1,158 orang dan 123 orang lagi di Pusat Tahanan Sementara dan penjara, katanya, lapor Bernama.

 

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu