Nation
936

PKPD di 2 lokaliti di Sabah, 1 di Kelantan

Kuala Lumpur – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksana di dua lokaliti di Sabah dan satu lokaliti di Kelantan bermula 6 hingga 19 Julai, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata PKPD di Sabah melibatkan Kampung Jambatan Baru, Membakut di Beaufort dan Blok 6, Kampung Titingan di Tawau.

PKPD di Kelantan pula membabitkan Kuarters Ladang Lepan Kabu (A dan B) dan sebahagian kawasan Kampung Pahi iaitu kawasan bersempadan dengan Kuarters Ladang Lepan Kabu di Kuala Krai.

“Pelaksanaan PKPD bertujuan untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut,” katanya dalam kenyataan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan PKPD hari ini.

Ismail Sabri berkata pelaksanaan PKPD itu dibuat selepas penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

Ismail Sabri turut mengumumkan PKPD di Kampung Jaya Baru, Kunak dan Kampung Serudung Baru, Tawau di Sabah yang dijadualkan tamat esok dilanjutkan sehingga 19 Julai 2021.

Beliau berkata PKPD di empat lokaliti dalam Mukim Tenglu, Mersing, Johor dan lima taman perumahan di Mentakab, Pahang ditamatkan seperti dijadualkan iaitu pada 11.59 malam esok (5 Julai).

Bagi PKPD di beberapa lokaliti di Sabah iaitu Kampung Pulutan, Nabawan; Ladang Brumas, Kalabakan dan Taman Wijaya Park di Kota Kinabalu turut ditamatkan seperti dijadualkan pada 11.59 malam esok.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata kerajaan akan mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang dan premis perniagaan kerana terlalu banyak pelanggaran arahan kerajaan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah diwartakan.

Beliau berkata sehingga semalam, secara kumulatif sebanyak 151,773 premis peniagaan, 25,970 kilang, 1,847 tapak pembinaan dan 812 asrama penempatan pekerja telah diperiksa.

Katanya, semalam sahaja, 5,785 pemeriksaan dibuat ke atas kilang, 15,388 premis perniagaan, 569 tapak pembinaan dan 297 asrama penempatan pekerja dan daripada jumlah itu, empat kilang dan 20 premis diarah tutup kerana didapati melanggar arahan kerajaan dan SOP.

Beliau berkata 691 individu pula ditahan atas kesalahan ingkar SOP semalam, dengan 651 individu dikompaun, 38 direman dan dua dijamin, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu