Nation
179

PKPD di 22 lokaliti di Sarawak

Kuching – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) hari ini memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 22 lokaliti di Sarawak susulan peningkatan kes positif COVID-19 di kawasan terbabit.

JPBN menerusi satu kenyataan memaklumkan sebanyak enam lokaliti di daerah Dalat iaitu Rumah Panjang (Rh.) Bala anak Umba, Rh. Tulu anak Sli, Rh. Duah anak Entingi, Rh. Balin anak Gema, Sekolah Kebangsaan St Luke dan Klinik Kesihatan Nanga Baoh akan dilaksanakan PKPD selama 14 hari bermula 7 hingga 20 Jun.

Sebanyak empat lokaliti di daerah Bukit Mabong turut dilaksanakan PKPD iaitu Rh. Tajai, Nanga Sebiro, Baleh, Rh. Nyamok, Ng Serau, Sungai Gaat, Rh. Laso, Nanga Entawau dan Rh. Rentap, Nanga Entawau yang telah bermula 3 Jun lepas hingga 16 Jun, menurut JPBN.

Selain itu, di Sri Aman sebanyak empat PKPD dikuatkuasakan iaitu di Rh. Setia, Sembayang dan Rh. Senah, Sembayang Ban yang telah bermula 3 hingga 16 Jun manakala PKPD di Rh. Lepang Sayat, Engkelili bermula 4 hingga 17 Jun sementara Rh. Unya Jambu Arap Skrang bermula hari ini hingga 18 Jun.

Di Kapit, PKPD dilaksanakan di Rh. Sli, Ulu Menuan, Batang Rajang, telah bermula 2 hingga 15 Jun manakala Rh. Empawie, Sungai Yong dan Rh. Ngelai, Sg Tisa, Sg Yong telah bermula 3 hingga 16 Jun.

Turut dikenakan PKPD ialah Rh. Philip Janting, Ulu Bejawai, bermula semalam hingga 20 Jun selain Rh. Japar, dan Rh. Gasah, Nanga Kemalih bermula hari ini hingga 13 Jun, ketiga-tiganya terletak di daerah Julau.

Sementara PKPD di Rh. Rentap, Sungai Rayah, Bintangor, Meradong bermula hari ini hingga 21 Jun dan Rh. Anthony Jugu, Sungai Buloh, Selangau pula akan bermula 7 hingga 20 Jun.

Sarawak mencatatkan 651 kes jangkitan baharu COVID-19 hari ini dengan 331 kes daripadanya telah dikesan di Kuching, Sibu, Sebauh dan Miri selain dua kes kematian baharu dilaporkan akibat wabak itu. — Bernama

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu