Nation
95

PKPD di 27 lokaliti mulai Rabu ini

Kuala Lumpur – Sebanyak 27 lokaliti melibatkan kawasan di Sabah, Terengganu dan Pahang, dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Rabu ini hingga 3 Ogos, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menerusi kenyataan mengenai perkembangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini beliau berkata, PKPD di Sabah melibatkan empat lokaliti di Kota Kinabalu (Jalan Kampung Likas Simpang 3, Api-Api Centre Kota Kinabalu, Taman Ujana Kingfisher, Likas dan Kampung Salut, Telipok) manakala masing-masing dua lokaliti di Sipitang (Kampung Marau dan Kampung Kebawang) dan Penampang (Beverly Hills Fasa 2 dan Cybercity Fasa 2).

Beliau berkata, PKPD turut dikenakan di Kampung Pituru Kinarut, Papar dan Kampung Meruntum, Putatan.

Di Terengganu, Ismail berkata PKPD membabitkan 10 lokaliti dalam mukim Kuala Dungun, Dungun iaitu Kampung Sungai Buaya, Kampung Tanah Lot, Kampung Lembah, Kampung Padang Jambu, Kampung Nibong, Kampung Bukit Chatak Tengah, Kampung Molek, Kampung Bijangga, Kampung Sungai Udang dan Kampung Sungai Penaga.

“Dua lagi lokaliti di Terengganu melibatkan kawasan di Mukim Bandi, Kemaman iaitu Bandar Cheneh Baru dan Felda Neram 2,” katanya.

Ismail Sabri berkata, PKPD di Pahang pula merangkumi tiga lokaliti dalam mukim Ulu Dong, Raub (Kampung Bedu, Kampung Temalian dan Kampung Pamah Kulat) serta dua lokaliti di Mukim Ulu Jelai, Lipis (Kampung Kabang dan Kampung Sat).

Dalam pada itu beliau berkata, PKPD di Penjara Sungai Udang (kecuali Kuarters Penjara), Melaka Tengah, Melaka yang dijadual tamat esok, dilanjutkan mulai Rabu hingga 3 Ogos.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata PKPD di lima lokaliti ditamatkan esok seperti yang dijadualkan iaitu Kampung Bagus, Rantau Panjang (Kelantan); Kampung Mambong, Kuching (Sarawak); Kampung Baru Batu 2 Jalan Apas, Tawau; Kampung Ejuk, Kota Belud dan Kampung Warisan, Kota Kinabalu (Sabah).

PKPD di Kawasan Perindustrian Indahpura serta tujuh lokaliti dalam Kawasan Perindustrian Senai, Kulai di Johor iaitu Kawasan Industri Senai Fasa 1, 2, 3 dan 4, serta Taman Perindustrian Senai, Taman Perindustrian Murni Senai dan Senai Airport City (SAC), juga tamat esok, iaitu lebih awal dari dijadualkan pada 22 Julai, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu