Nation
401

PKPD di 7 lagi lokaliti mulai Sabtu

Kuala Lumpur – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di beberapa lokaliti di Pahang, Johor, Sabah, Sarawak dan Terengganu selama dua minggu bermula Sabtu ini hingga 25 Jun depan.

Langkah itu bagi memudahkan tindakan kawalan COVID-19 dijalankan dengan cepat dan berkesan, selain memastikan penduduk berisiko dijangkiti COVID-19 kekal berada dalam kawasan serta tidak menjangkiti komuniti di luar.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPD di Pahang membabitkan tiga taman perumahan di Temerloh iaitu Taman Temerloh Jaya, Taman Temerloh Jaya Indah dan Taman Temerloh Makmur.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sudah menjalankan 407 saringan ke atas penduduk di tiga taman perumahan terbabit dan hasilnya 38 kes positif COVID-19 direkodkan dengan 24 kes di Taman Temerloh Jaya, Taman Temerloh Jaya Indah (6) dan lapan kes di Taman Temerloh Makmur.

Katanya, PKPD turut dilaksanakan di Ladang Tereh Mill, Kluang, Johor selepas 24 kes positif COVID-19 disahkan hasil saringan ke atas 154 individu di lokaliti terbabit dengan kadar positiviti 15.6 peratus.

“Kerajaan turut melaksanakan PKPD di Lorong Pasir Putih 1, Taman Pasir Putih Fasa 1, Putatan, Sabah selepas KKM mendapati berlaku peningkatan kes ketara apabila 16 daripada 17 individu disaring, positif COVID-19 dengan kadar positiviti 94.12 peratus.

“PKPD juga akan dilaksanakan di Kampung Kolong 2, Kuching, Sarawak selepas KKM mengesan 29 daripada 45 individu disaring, positif COVID-19.

“Ia bagi memudahkan tindakan kawalan COVID-19 dijalankan dengan cepat dan berkesan, seterusnya menghalang penularan di dalam serta luar kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, PKPD bermula Sabtu ini juga membabitkan Kampung Tajin, Kuala Berang, Hulu Terengganu, Terengganu selepas 502 individu disaring dan 31 daripadanya dilaporkan positif COVID-19. — BH Online

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu