Nation
104

PKPD di 9 lokaliti termasuk 7 di Sabah mulai Isnin

Kuala Lumpur – Sebanyak tujuh lokaliti di Sabah serta masing-masing satu lokaliti di Negeri Sembilan dan Pahang, dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Isnin (14 Jun) hingga 27 Jun ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, lokaliti di Sabah melibatkan Kampung Indah di Nabawan; Kampung Manggis, Kuala Penyu; Taman Kinabutan Ria dan Simpang Inderasabah, Tawau; Kampung Baru (SFI), Sipitang; serta Kampung Tawadakan dan Kampung Kota Bungan, di Kota Belud.

Turut dikuatkuasakan PKPD di Kampung Lakai dekat Jelebu, Negeri Sembilan; dan kawasan Kampung Raja di Cameron Highlands, Pahang melibatkan Sungai Ikan, Blue Valley, Taman Matahari Cerah, Taman Desa Corina dan Kampung Baru Kampung Raja.

“Langkah ini dilaksanakan bagi memutuskan rantaian jangkitan, dengan menghalang pergerakan masuk individu luar ke dalam kawasan tersebut, selain menyekat penularan wabak ke lokasi lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Ismail Sabri memaklumkan, PKPD di Kampung Baru Melayu, Bentong dan FELDA Jengka 24, Jerantut di Pahang, ditamatkan hari ini seperti yang dijadualkan.

PKPD di FELDA Sahabat 40 (Kg Kembara Sakti); Tungku dekat Lahad Datu; dan Kampung Padawan, Papar di Sabah; serta tiga kawasan perumahan di mukim Juasseh dekat Kuala Pilah, Negeri Sembilan, masing-masing ditamatkan esok, mengikut jadual.

Sementara itu, PKPD di Ladang Chin Teck, Muadzam Shah dekat Rompin, Pahang juga ditamatkan esok namun lebih awal daripada yang dijadualkan iaitu pada 18 Jun, selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kluster di situ terkawal, kes menurun selain semua kes positif telah menerima rawatan.

Beliau berkata, mengenai operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP semalam, seramai 887 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP, dengan 849 daripadanya dikompaun manakala 38 lagi direman. — Bernama

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu